Apabila melangkah masuk ke alam universiti, mesti banyak perkara yang seseorang itu lalui. Setiap tempat belajar mesti ada kisah yang tersendiri. Dalam erti kata lain, mereka yang belajar di tempat itu sahaja yang pernah melalui situasi tersebut, orang luar tidak akan faham.
Pasti ada di antara pembaca di sini pernah atau sedang belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Kali ini, kami kongsikan 5 perkara hanya pelajar UiTM Shah Alam sahaja boleh relate:
1. Datang kelas 1 jam awal untuk mencari parking
Masalah yang paling besar buat mereka yang membawa kereta ke kelas adalah parking. Lagi-lagi kalau waktu puncak, jangan haraplah nak dapat parking.
Selalunya, mereka yang membawa kereta akan datang 1 jam awal semata-mata untuk mencari parking. Besar sungguh pengorbanan dalam menuntut ilmu, sanggup korbankan waktu tidur yang berharga itu semata-mata untuk satu kotak parking.
2. Tinggal di kolej ibarat Cinderella kerana pelajar perlu balik sebelum jam 12 tengah malam
Mereka yang tinggal di kolej kediaman pasti boleh relate dengan perkara ini. Pelajar diwajibkan balik sebelum jam 12 tengah malam untuk mengelakkan daripada ditahan oleh Polis Bantuan. Nanti, macam-macam pula yang akan disoal sekiranya pelajar melanggar peraturan ini.
3. Keadaan di dalam bas seolah-olah seperti tin sardin ketika waktu puncak
Bukan sahaja parking yang penuh semasa waktu puncak, bas yang disediakan oleh pihak UiTM pun turut bertukar menjadi seperti sardin. Kadang-kadang sudahlah tunggu bas pun lama, tetapi bila bas sampai, tak ada ruang pula untuk mencelah masuk. Belum lagi bercakap tentang bau-bau yang mampu membuat mereka yang mengantuk terus segar di dalam bas tersebut!
4. DC menjadi destinasi makan pelajar terutamanya mereka yang tinggal di dalam kampus
Dataran Cendikia atau lebih dikenali sebagai DC memang popular dalam kalangan pelajar UiTM Shah Alam. Dalam erti kata lain, kalau tak pernah jejakkan kaki di sini ibaratnya seseorang itu bukan pelajar UiTM Shah Alam.
Terdapat banyak gerai menjual makanan di sini dan ia menjadi pilihan majoriti pelajar kerana harganya yang sangat berpatutan. Boleh simpan duit kalau hari-hari makan dekat DC berbanding dengan makan di luar kampus. Nama pun pelajar, mesti semua nak berjimat! Jadi, tak hairanlah kenapa DC menjadi pilihan utama majoriti pelajar UiTM Shah Alam.
5. Lampu isyarat di pintu masuk Seksyen 7 menguji kesabaran semua orang
Pasti majoriti pelajar UiTM Shah Alam pernah sekurang-kurangnya sekali mengeluarkan makian akibat lampu isyarat ini. Lampu isyarat di pintu masuk Seksyen 7 memang boleh bawa gaduh kerana ia bertukar merah dengan cepat sekali.
Selalunya, hanya 3 ke 4 buah kereta sahaja yang berjaya melepasi lampu isyarat tersebut sebelum ia kembali bertukar merah. Sekiranya ada yang memotong barisan, memang sengaja cari pasal!
Kesemua perkara di atas memang bunyi macam menyakitkan hati tetapi itulah yang dianggap sebagai kenangan manis di UiTM Shah Alam. Apabila tamat sahaja pengajian, pasti anda akan merindui kehidupan sebagai pelajar di sana.