Gangguan kebimbangan sosial atau social anxiety disorder adalah masalah mental yang melampaui tahap malu atau introvert. Ia melibatkan ketakutan yang melampau dalam interaksi sosial dan mengganggu kehidupan seharian mereka yang berhadapan dengan masalah ini.
Gejala gangguan sosial ini biasanya bermula pada usia 13 tahun dan berterusan sehingga dewasa. Menurut kajian, kebanyakan orang yang mengalami masalah ini menunggu sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum mendapatkan pertolongan.
Dan bagi mereka yang dibelenggu masalah ini, tingkah laku mereka adalah agak sama dan didorong oleh rasa takut yang berlarutan.
Kami kongsikan 5 perkara yang paling biasa dilakukan oleh seseorang yang menghidapi masalah kebimbangan sosial.
1. Mereka Tidak Mahu Berhadapan Dengan Situasi Di Mana Mereka Mungkin Akan Dihakimi
Kebimbangan sosial membuatkan seseorang sering memikirkan perkara seperti, “orang lain pasti akan fikir saya ni bodoh” atau “saya akan merosakkan keadaan dan mesti semua orang akan fikir saya ni loser”.
Ketakutan yang melampau terhadap penolakan orang lain menyebabkan mereka mengelakkan diri daripada berada dalam situasi sosial sekerap yang mungkin.
2. Mereka Hanya Selesa Dengan Orang Tertentu Sahaja
Seperti introvert, kebanyakan orang yang mengalami kebimbangan sosial akan berasa selesa dengan beberapa individu tertentu sahaja, seperti kawan baik, ibu bapa atau adik-beradik.
Jika mereka berinteraksi dengan individu selain daripada kumpulan tadi, ia boleh membawa kepada peningkatan kebimbangan yang sangat serius. Mereka akan membawa orang yang mereka selesa sahaja untuk bersama-sama ke kedai runcit atau berada dikhalayak ramai. Hal ini, membuatkan mereka berani untuk berinteraksi dengan orang lain dan rasa takut itu semakin berkurang.
3. Mereka Bimbang Orang Lain Menyedari Ketakutan Mereka
Sama ada mereka bercakap dalam mesyuarat atau mereka cuba untuk membuat ucapan kecil dengan kenalan, seseorang yang menghidapi masalah ini akan berasa takut, jika kebimbangan mereka menjadi ketara dan disedari oleh orang ramai.
Mereka juga cenderung untuk mengalami gejala-gejala fizikal seperti wajah menjadi kemerah-merahan, tapak tangan berpeluh, tangan menggeletar atau sesak nafas, dan mereka yakin bahawa semua orang boleh tahu apabila mereka berasa gugup.
4. Mereka Membayangkan Akan Memalukan Diri Sendiri
Sama ada mereka akan bertemu dengan orang baru atau sedang berjalan dikhalayak ramai, seseorang yang menghidapi masalah kebimbangan sosial sentiasa membayangkan senario yang memalukan diri mereka sendiri.
Mereka bimbang akan mengatakan atau melakukan sesuatu yang salah dan menggambarkan orang lain terkejut dengan tingkah laku mereka.
5. Mereka Kritik Kemahiran Sosial Sendiri
Orang yang dibelenggu kebimbangan sosial kerap menghabiskan masa menganalisis interaksi sosial mereka. Mereka memainkan semula perbualan dalam fikiran mereka berulang-ulang kali dan meneliti komunikasi mereka.
Mereka juga sering membesar-besarkan kelemahan mereka dan menilai diri mereka sendiri dengan kasar serta mengkritik diri sendiri.
Jika anda pernah atau sedang menghidapi masalah kebimbangan sosial ini, manakah antara senarai di atas yang sering dilakukan oleh anda?
Sumber: Metro