5 Lokasi ‘Low-Budget’ Di Ipoh Yang Wajib Anda Kunjungi!

Bandar Ipoh merupakan bandaraya ke-4 terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur, George Town dan Johor Bharu. Nama Ipoh diambil daripada nama sepohon pokok yang mengeluarkan getah beracun atau lebih dikenali sebagai ‘upa’. Getah tersebut digunakan oleh orang Asli untuk panahan sumpit mereka.

Ejaan sebenar bagi pokok Ipoh ini adalah Ipuh. Disebabkan sebutannya seakan-akan Ipoh, oleh itu ejaannya telah diubah mengikut peredaran zaman. Pokok Ipoh ini juga dikatakan antara pohon yang paling beracun di Malaysia.

Sekiranya anda sedang merancang percutian low-budget di Ipoh, ini adalah 5 tempat yang wajib anda kunjungi:

1. Nasi Ganja Kedai Kopi Yong Suan

Nasi ganja bukanlah bermaskud nasi ini dicampur dengan ganja. Ia merupakan sebuah nama panggilan untuk nasi kandar ayam merah ini kerana ketagihan selepas memakannya sama seperti ketagihan selepas menghisap ganja.

Pelanggan juga sanggup beratur panjang untuk menikmati keenakan nasi yang luar biasa ini. Waktu terbaik sekiranya anda ingin berkunjung ke sini adalah dari pukul 9 pagi dan selepas jam 3 petang.

2. Tasik Cermin, Gunung Rapat

Kawasan ini merupakan kawasan larangan kerana ia merupakan tanah hak persendirian. Sekiranya anda ingin ke sini, segala kemalangan dan kehilangan ditanggung sendiri. Namun, anda tidak perlu risau kerana setibanya di Tasik Cermin ini, anda akan disajikan dengan keindahan dan ketenangan yang luar biasa.

Tasik ini diberi nama Tasik Cermin kerana bayangan yang terdapat di tasik ini memantul landskap sekeliling seolah-olah seperti pantulan cermin.

3. Taman Rekreasi Gunung Lang

Taman Rekreasi Gunung Lang ini telah menjadi satu tarikan kepada orang ramai terutamanya untuk yang berkeluarga. Taman ini mempunyai tiga buah tasik buatan daripada bekas lombong bijih timah. Tasik di Gunung Lang ini dipenuhi dengan pelbagai spesies ikan air tawar. Pengunjung di sini juga diberi peluang untuk memberi makan kepada pelbagai jenis hidupan di dalam tasik tersebut.

Harga bayaran yang dikenakan untuk tambang menaiki bot hanyalah serendah RM3 bagi dewasa manakala RM1.50 bagi kanak-kanak dan warga emas.

4. Muzium Yasmin Ahmad (Musium Kong Heng)

Siapa yang tidak kenal dengan Yasmin Ahmad, seorang wanita yang berjaya mencipta nama dalam pembikinan filem dan iklan. Muzium ini dibina bagi mengenang jasa dan meneruskan legasi beliau.

Muzium ini sangat sesuai dikunjungi bagi mereka yang meminati karya seni Yasmin Ahmad. Ia beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad sahaja iaitu dari pukul 10 pagi hingga 4 petang.

5. Concubine Lane

Lorong Panglima juga dikenali sebagai Concubine Lane atau dalam bahasa Cina, ia dipanggil Yi Lai Hing yang bermaksud Lorong Perempuan-Perempuan Simpanan atau The Mistress Lane. Di sepanjang laluan, terdapat banyak kedai yang menjual beraneka jenis cenderamata, pokok hiasan, manisan, makanan dan sebagainya. Sebagai contoh, terdapat ais kepal, roti pelangi, gula-gula kapas dan banyak lagi.

Tempat ini juga merupakan tempat tumpuan orang ramai kerana ia sesuai untuk mengambil gambar. Waktu operasinya adalah pada setiap hari termasuk cuti awam iaitu dari jam 7 pagi hingga 7 petang.

Bandar Ipoh merupakan bandar yang sangat unik. Sekiranya anda ingin menikmati sendiri keunikan bandar ini, bolehlah anda merancang untuk ke bandar Ipoh kelak. Rancanglah perjalanan masa cuti anda dengan bijak!

Dengar cerita, Lejen Press ada terbitkan sebuah komik berkonsepkan travelogue yang berjudul Perak, Teman Datang! Ia juga datang dalam versi bahasa Inggeris iaitu Perak, Here I Come! Sebelum berkunjung ke sana, bolehlah dapatkan komik ini dulu kerana terdapat pelbagai maklumat termasuklah tempat tinggal, tempat makan menarik dan tempat-tempat yang patut anda kunjungi di sana. Jadi, tunggu apa lagi?

Penulis

  • Hanis Izzatul Aryani Binti Faizan adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca