Bulan Ramadan menjanjikan banyak manfaat dan kelebihan terutamanya bagi umat Islam di negara Malaysia. Antara kelebihan atau keunikan bulan ini adalah bazar Ramadan yang menjual aneka juadah kepada semua lapisan umur.

Di sini, terdapat 5 lokasi bazar Ramadan paling popular di kawasan Lembah Klang yang wajib anda kunjungi:

1. Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam

Bazar Ramadan di Seksyen 13, Shah Alam merupakan salah satu bazar Ramadan yang paling besar di Lembah Klang. Bazar ini terletak di kawasan tempat letak kereta Stadium Shah Alam. Bazar ini menyediakan pelbagai jenis juadah dan hidangan berbuka puasa yang enak-enak dan menarik.

Sekiranya anda ingin berkunjung ke bazar ini, ia sentiasa penuh dengan orang ramai yang berpusu-pusu mencari juadah berbuka puasa setiap hari. Maka, anda perlu bersabar dan memilih masa yang sesuai untuk anda kunjungi.

2. Bazar Ramadan Jalan Tun Mohd Fuad, TTDI

Bazar Ramadan di TTDI bertempat di lokasi yang sama dengan pasar malam TTDI yang beroperasi setiap hari Ahad. Bazar ini mempunyai pelbagai jenis hidangan dan juadah berbuka puasa yang pasti akan membuka selera anda. Antara makanan yang popular di sini adalah murtabak maggi, putu piring dan banyak lagi.

3. Bazar Ramadan SS13, Subang Jaya

Bazar Ramadan SS13, Subang Jaya ini terletak di kawasan luar Kompleks Sukan 3K dan hanya beberapa ratus meter dari tempat tumpuan ramai seperti SS15 dan Bandar Sunway. Ambil kesempatan ini untuk mengunjungi bazar Ramadan di luar 3K dan nikmati makanan seperti Cheese Steak Sandwich yang dikhabarkan amat sedap.

4. Bazar Ramadan Seksyen 14, Petaling Jaya

Bazar Ramadan Seksyen 14, Petaling Jaya ini terletak berhampiran dengan Federal Academy of Ballet. Dikatakan juadah paling popular di bazar ini adalah popia dan orang ramai sanggup beratur untuk mendapatkannya. Kehebatan popia ini juga pernah disiarkan dalam akhbar The Star.

Jika anda bernasib baik, anda akan dapat merasakan kenikmatan dan kelazatan popia ini, itu pun sekiranya masih ada bila sampai giliran anda. Maka, silalah datang awal ke bazar ini untuk dapatkan peluang menikmati kelazatan popia tersebut.

5. Bazar Ramadan Masjid India

Bazar ini terletak di Lorong Masjid India 4. Dikatakan di bazar ini tidak kira siang atau malam, rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini akan sentiasa jalan-jalan cari makan di sini. Bazar Ramadan Masjid India yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ini amat meriah dan sentiasa dikunjungi ramai.

Burger yang terdapat di bazar ini menjadi sebutan dan kegemaran ramai. Makan, tidak hairanlah ada yang membeli lebih daripada satu biji.

Sekiranya anda berasakan bahawa berkunjung ke bazar Ramadan hanyalah membuang masa sahaja kerana setiap tahun hanyalah makanan yang sama, ternyata anda membuat satu kesilapan yang besar. Makanan-makanan yang tular dan diubah suai mengikut cita rasa tempatan boleh didapati di bazar Ramadan.

Hal ini demikian kerana peniaga-peniaga moden ini membuat pelbagai eksperimen untuk menarik minat kita sebagai pembeli untuk membeli dan merasakannya. Maka, jangan lepaskan peluang anda! Jika anda berkesempatan dan berkelapangan pada waktu petang di bulan Ramadan ini, berkunjunglah ke bazar yang berdekatan dengan anda untuk mencari juadah yang istimewa buat juadah berbuka.

Penulis

  • Shahrul Azfar Badarzaman adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
0
like
0
love
0
haha
0
wow
0
sad
0
angry