5 Kesalahan Pemakaian Sunblock Yang Menyebabkan Kulit Makin Gelap

Sunblock atau krim perlindungan cahaya matahari merupakan satu benda yang tidak asing lagi bagi mereka yang menjaga kecantikan dan kesihatan kulit. Namun begitu, ramai yang tertanya-tanya kenapa kulit masih mengalami selaran matahari walaupun dengan pemakaian sunblock? Bukankah sepatutnya sunblock ini bagus untuk mengelakkan kulit daripada menjadi semakin gelap? Mari kita lihat lima kesalahan pemakaian sunblock yang mendorong kepada selaran matahari.

1. Memakai Sunblock Dalam Kuantiti Yang Tidak Mencukupi

Ramai yang tidak tahu tentang kuantiti sebenar dalam pemakaian sunblock. Bagi mendapatkan perlindungan yang maksimum, konsep Two Fingers Rule haruslah dipraktikkan di mana kuantiti sunblock yang digunakan adalah sebanyak dua jari. Sekiranya sunblock digunakan dalam kuantiti yang sedikit atau sekadar secalit sahaja, maka perlindungan daripada sunblock juga bakal berkurang 1/3 dari angka SPF yang tertera pada label.

2. Tidak Menggunakan Sunblock Secara Berulang

Pemakaian sunblock tidak cukup sekadar sekali sahaja. Meskipun sunblock yang digunakan itu kalis air dan kalis peluh, itu tidak bermaksud ia akan kekal di wajah kita sepanjang hari. Untuk memaksimumkan perlindungan sunblock tersebut, ulangi pemakaian sunblock setiap dua jam.

3. Menggunakan Sunblock Sesaat Sebelum Keluar Rumah

Kulit kita memerlukan sekurang-kurangnya 15 minit untuk menyerap sunblock. Dalam erti kata lain, sekiranya kita terus berada di bawah sinar matahari sejurus memakai sunblock, ia umpama hujan jatuh ke pasir. Kulit kita tidak akan mendapat apa-apa perlindungan kerana sunblock tersebut masih belum diserap sepenuhnya.

4. Menggunakan Sunblock Hanya Apabila Cuaca Panas

Sunblock perlu digunakan dalam apa jua cuaca sekalipun termasuklah pada hari yang mendung. Hal ini demikian kerana sinaran UV yang memudaratkan masih boleh menjejaskan kulit walaupun cuaca tidak panas. Semua orang menghadapi risiko kerosakan kulit yang disebabkan oleh sinaran UV, maka pemakaian sunblock merupakan perkara yang sangat penting.

5. Menggunakan Sunblock Yang Tidak Sesuai Dengan Kulit Wajah

Setiap individu mempunyai kulit wajah yang berbeza. Sesuatu produk itu mungkin berkesan kepada orang lain, namun tidak bererti produk itu juga berkesan untuk kita. Pemilihan sunblock yang sesuai dengan kulit wajah merupakan salah satu perkara yang perlu dititikberatkan bagi menjamin keberkesanannya.

Kesalahan-kesalahan dalam pemakaian sunblock di atas haruslah dielakkan supaya kulit kita terpelihara daripada sinaran UV yang berbahaya. Secara tidak langsung, selaran matahari dapat dielakkan sekiranya kita mempraktikkan penggunaan sunblock yang betul. Jadi, kesalahan mana yang pernah anda lakukan? Mari kita sama-sama mengubahnya.

Artikel Lain Untuk Di Baca