5 Juadah Tradisi Pahang Yang Wajib Anda Cuba

Jika anda seorang penggemar makanan tradisional, sudah pasti anda akan mengetahui pelbagai jenis makanan dari 14 negeri di Malaysia. Makanan tradisional ini menjadikan sesebuah negeri itu menjadi lebih istimewa dan menjadi ikon bagi sesebuah negeri tersebut. Kali ini, kami kongsikan 5 juadah tradisi Pahang yang wajib anda semua cuba:

1. Gulai Patin Tempoyak (Gulai Masam)

Sesetengah daerah di negeri Pahang memanggil juadah ini dengan nama gulai patin tempoyak dan gulai masam. Kuah tempoyak yang berwarna kuning keemasan yang pekat bersama potongan isi ikan patin menjadikan sesiapa sahaja yang melihatnya akan terliur.

Juadah ini bukan sahaja diminati oleh rakyat di negeri Pahang semata-mata, malah pengunjung dari luar juga akan tertarik untuk mencubanya. Kuahnya memiliki gabungan rasa masam, manis dan pedas, juga ditambah dengan isi ikan patin yang segar menaikkan lagi rasa kesedapannya.

Apatah lagi jika juadah ini dimakan panas-panas bersama nasi putih. Bagi penggemar juadah ini semestinya akan mengambil bahagian lemak di perut, kepala dan ekor kerana bahagian ini adalah bahagian paling sedap untuk dimakan.

Ditambah pula dengan hirupan kuahnya yang pekat dan aroma bunga kantan serta daun kesum membuatkan gulai ini lagi menyelerakan. Sekiranya anda ingin mencari gulai patin tempoyak yang power, datanglah berkunjung ke daerah Temerloh.

2. Sambal Hitam

Biasakah anda mendengar buah belimbing besi? Ya, buah inilah yang dijadikan sebagai satu juadah yang istimewa iaitu dipanggil sambal hitam. Belimbing ini direbus terlebih dahulu sehingga ia menjadi warna hitam.

Ia memakan masa yang agak lama, kadang-kadang mengambil masa satu hari untuk menjadi warna hitam. Kemudian ia digoreng bersama ikan bilis dan lada, maka terhasillah sambal hitam yang enak dimakan begitu sahaja atau bersama nasi panas, pulut, lempeng dan sebagainya.

Pada suatu ketika dahulu, sambal hitam ini kebiasaannya hanya didapati di daerah Kuala Lipis, Raub dan Jerantut sahaja. Tetapi pada masa kini, sambal hitam ini boleh didapati di mana-mana sahaja, malah di luar negara juga terdapat juadah ini.

3. Gulai Asam Rong

Jika anda berkunjung ke pekan Jerantut, anda wajib cuba juadah tradisionalnya iaitu gulai asam rong kepala ikan kenerak. Gulai asam rong ini rasanya seakan-akan rasa gulai patin tempoyak juga, tetapi juadah ini terdapat aromanya yang tersendiri.

Perkataan asam rong ini berasal daripada perkataan isirong iaitu merujuk kepada isi di dalam buah dan perkataan asam itu digunakan kerana kaedah pembuatan asam rong ini sama sahaja dengan pembuatan asam yang lain.

Pada asalnya asam rong ini diperbuat daripada buah perah yang hanya boleh didapati di dalam hutan tebal di sekitar Tembeling. Namun, disebabkan kesukaran untuk mencari buah tersebut, penduduk kampung pada ketika itu mencari alternatif lain dengan menggantikan buah perah tersebut dengan buah biji getah daripada pokok getah. Maka, terhasillah juadah yang dinamakan gulai asam rong.

4. Opor Daging

Opor daging ini adalah makanan tradisi orang Pahang yang menggunakan daging. Untuk menyediakan juadah ini memerlukan kesabaran yang agak tinggi kerana ia mengambil masa antara 5 ke 6 jam untuk disiapkan.

Untuk menghasilkan opor yang sedap, anda mestilah seimbangkan rasa manis, pedas, masin dan yang paling utama, sukatan rempah opor, pati santan dan santan cair yang digunakan mestilah mencukupi dengan jumlah dagingnya.

5. Puding Diraja

Puding diraja ini pada asalnya hanyalah menjadi santapan istana dan hanya dinikmati di istana pada waktu yang tertentu. Juadah ini dijadikan sebagai santapan pencuci mulut ketika majlis pertabalan sultan, hari keputeraan sultan dan hari pengkurniaan pangkat serta majlis yang membabitkan pembesar negeri.

Juadah ini juga tidak pernah dibawa keluar untuk rakyat jelata kerana ia hanyalah santapan yang istimewa buat pihak istana. Namun pada masa kini, puding diraja ini boleh dirasai oleh rakyat jelata dan mudah didapati di pasar-pasar dan bazaar Ramadhan pada bulan puasa.

Jika anda berkunjung ke negeri Pahang, anda wajib mencuba juadah-juadah ini. Jika tidak, tidak lengkaplah percutian anda ke negeri Pahang dan anda akan tergolong dalam golongan orang yang rugi. Jika anda telah merasainya pula, maka anda tahulah apa itu poh paleh sedap weh! Moh ler aokme berkunjung ke negeri Pahang!

Penulis

  • Shahrul Azfar Bin Badarzaman adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca