5 Juadah ‘Rare’ Yang Mungkin Hanya Ada Pada Bulan Ramadan

Bila cakap mengenai bulan Ramadan, otak kita pasti terus memikirkan soal makanan. Ada sesetengah makanan yang cuma boleh didapati pada bulan Ramadan sahaja. Pada bulan-bulan lain, jarang untuk kita jumpa makanan-makanan ini. Berikut kami kongsikan makanan yang mungkin hanya ada pada bulan puasa sahaja:

1. Nekbat

Kuih nekbat merupakan sejenis kuih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras dan telur. Ia sangat popular di Malaysia terutama sekali di Pantai Timur iaitu di Kelantan dan Terengganu. Kuih nekbat ini kelihatan seperti kuih baulu tetapi ia lebih keras berbanding baulu dan dimakan bersama dengan air sira.

Kuih nekbat biasanya akan disira dengan air gula yang dimasak dengan pandan sehingga wangi. Selepas disira, kuih nekbat ini akan dimakan dengan segera sebelum ia hancur.

2. Air Katira

Air katira merupakan sejenis air yang mula diperkenalkan di negeri Johor. Air ini kebanyakannya berwarna hijau susu dan juga biru muda. Air katira selalunya hanya akan ditemui ketika bulan Ramadan kerana ia boleh menyejukkan badan selain rasanya yang sedap dan menyegarkan.

Air ini mempunyai pelbagai versi daripada segi warna dan juga isi kandungannya. Katira ialah sejenis getah anggur yang kering dan dimasukkan ke dalam air untuk dibancuh bersama bahan lain.

3. Nasi Ulam

Nasi ulam merupakan salah satu makanan yang terkenal apabila bulan Ramadan tiba. Ia merupakan nasi putih yang digaul dengan pelbagai jenis ulam yang dimayang sehingga halus. Nasi ulam ini sedap dimakan bersama solok lada ataupun ikan masin.

4. Roti John

Walaupun roti john ada pada bulan selain bulan puasa, ia agak sukar untuk ditemui kerana tidak begitu mendapat sambutan yang menggalakkan pada bulan lain. Pada masa kini, roti john telah diinovasi dengan bahan baru iaitu keju yang menjadi kegemaran masyarakat. Roti john keju menjadi salah satu pilihan orang ramai selain daripada roti john biasa.

5. Bubur Lambuk

Bubur lambuk merupakan sejenis hidangan yang amat popular pada bulan Ramadan di Malaysia. Ia biasanya dimasak secara bergotong-royong di masjid-masjid untuk diagihkan kepada para jemaah sebagai hidangan berbuka puasa.

Bubur lambuk diperbuat daripada beras dengan campuran rempah dan sayuran pucuk paku. Di Terengganu, selain daripada bahan biasa, kadangkala keropok keping mentah dan budu juga ditambah bagi menambah perisa selain daripada ubi keledek, udang kering dan lain-lain.

Penulis

  • Noor Illia Mohd Noor adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca