5 Jenis Spesies Kucing Yang Jarang Dijumpai Di Dunia

Kajian mendapati membela kucing dapat menghilangkan tekanan perasaan dan menurunkan tekanan darah seseorang lebih-lebih lagi jika kucing tersebut comel, aktif dan manja. Kebiasaannya, mereka ini akan menggembirakan hati kita apabila kita baru pulang kerja atau melakukan aktiviti di luar rumah. Walau bagaimanapun, ramai yang tidak tahu bahawa terdapat beberapa jenis baka kucing yang jarang dijumpai di dunia.

Berikut kami kongsikan lima jenis baka kucing yang jarang dijumpai di dunia.

1. Sand cat

Kucing pasir yang dikenali sebagai Sand Cat atau Sand Dune Cat merupakan kucing yang dijumpai di padang pasir. Ia juga dikenali dengan nama saintifiknya iaitu Felis Margarita. Kucing ini mempunyai taburan yang sangat meluas dan dipisahkan oleh padang pasir Asia Tengah, Asia Barat dan Afrika Utara. Pada tahun 2002, The International Union for Conservation of Nature (IUCN) mengkategorikan kucing bersaiz kecil ini sebagai spesies yang terancam disebabkan bilangan populasinya yang semakin rendah pada setiap tahun.

2. Fishing cat

Nama saintifik kucing ini ialah Prionailurus viverrinus. Kucing spesies liar ini banyak dijumpai di kawasan Selatan Asia. Pada tahun 2016, kucing ini telah dikategorikan juga sebagai spesies yang terancam kerana populasinya menurun secara mendadak kerana habitatnya yang telah banyak musnah. Kucing ini tinggal disekitar pinggir sungai, paya dan tasik. Kucing ini sangat terkenal dengan kemahiran berenang untuk memburu ikan.

3. Jaguarundi

Nama saintifik bagi spesies kucing ini ialah Herpailurus Yaguarondi. Kucing spesies ini banyak dijumpai di kawasan Amerika Utara dan Amerika Selatan. Haiwan ini mempunyai jumlah populasi yang besar dan tidak diketegorikan sebagai spesies yang terancam. Spesies ini lebih aktif pada waktu siang berbanding malam dan kucing ini sangat mahir memanjat pokok untuk tujuan berehat. Selain itu, kucing spesies ini dapat mengeluarkan bunyi-bunyi yang unik dan berbeza ketika berkomunikasi sesama mereka.

4. Black Footed cat

Kucing berkaki hitam ini merupakan sejenis kucing yang terdapat di Wilayah Afrika Selatan. Nama saintifik bagi kucing ini ialah Felis Nigripes dan mempunyai panjang kepala dan badan sekitar 35 sehingga 52 sentimeter sahaja. Kucing ini merupakan salah satu spesies kucing yang terkenal dan paling kecil di Afrika. Kucing ini sangat aktif pada waktu malam jika dibandingkan pada waktu siang dan sebab itulah ia sangat sukar ditemui berbanding kucing spesies lain.

5. Rusty-Spotted cat

Kucing spesies liar ini merupakan spesies paling kecil di dunia dan dikenali sebagai Prionailurus Rubiginosus. Ia adalah kucing spesies liar terkecil di Asia dan telah menandingi kucing Black Footed sebagai kucing liar terkecil di dunia. Panjangnya 35 hingga 48 sentimeter sahaja.  Kucing ini pernah direkodkan keberadaannya di Sri Lanka dan India. Pada tahun 2016, kucing ini dilaporkan terdapat di kawasan Barat Nepal. IUCN Red List Threatened Spesies merekodkan bilangan kucing ini semakin berkurangan dan dikategorikan sebagai haiwan yang sangat terancam.

Penulis:

  • Juliatul Amira Binti Mohamad Joni adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel lain berkaitan si comel, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca