Rasanya, kita semua sudah biasa dengar tentang kisah-kisah hantu yang bermaharajalela di hotel. Maklumlah, ada sesetengah hotel yang asalnya merupakan bangunan lama dan diperbaharui menjadi hotel. Mungkin, mahkluk halus sudah lama bertapak di bangunan tersebut. Kali ini, kami kongsikan 5 hotel paling berhantu di dunia:
1. Hotel Ballygally Castle, Ireland Utara
Hotel ini yang dulunya merupakan sebuah istana dibina pada tahun 1625 oleh Lord James Shaw dan isterinya, Lady Isobella Shaw. Tetamu hotel ini dikhabarkan sering diganggu oleh wanita tersebut yang dipercayai telah dikurung oleh suaminya selepas melahirkan seorang bayi lelaki.
Lady Isobella Shaw dikatakan meninggal dunia akibat jatuh daripada tingkap ketika hendak melarikan diri. Rohnya telah menghantui tempat itu selama 400 tahun. Ada yang mengatakan bahawa rohnya itu mencari anak yang dirampas oleh suaminya dahulu.
2. Fairmont Banff Springs, Kanada
Menurut penginap dan pekerja hotel ini, mereka pernah terserempak dengan bekas pekerja di situ iaitu Sam Macauley yang meninggal dunia pada tahun 1967 selepas mengumumkan persaraannya. Tukang angkut itu yang berpakaian seragam lengkap sering dijumpai di tingkat 9 hotel tersebut. Setelah selesai membawa bagasi para tetamu, lelaki berkenaan akan lenyap begitu sahaja.
Selain itu, terdapat juga satu lagi roh yang berkeliaran di Fairmont Banff Springs. Roh tersebut dipercayai seorang perempuan yang meninggal dunia pada hari perkahwinannya yang berlangsung di hotel tersebut.
3. Hotel Anchorage, Amerika Syarikat
Hotel ini dianggap berhantu kerana orang ramai mengatakan bahawa roh seorang polis bernama John Sturgus akan muncul pada setiap tahun. Dia dikhabarkan mati ditembak dengan pistolnya sendiri berdekatan hotel tersebut. Roh anggota polis itu dikatakan ‘menziarahi’ tempat itu untuk menuntut keadilan atas kematiannya.
4. Toftaholm Herrgard, Sweden
Hotel ini dibina pada abad ke-14 dan banyak insiden yang aneh dilaporkan berlaku di sini. Tetamu yang menginap di sini mengatakan bahawa bunyi bising sering kedengaran terutamanya pada waktu malam. Bukan itu sahaja, tingkap dan pintu yang sengaja dibiarkan terbuka pada waktu malam selalunya akan tertutup menjelang pagi.
Kisah di sebalik perkara aneh ini dikaitkan dengan seorang pemuda yang jatuh cinta dengan anak kepada pemilik Toftaholm Herrgard. Namun begitu, gadis tersebut dipercayai telah berkahwin dengan pilihan bapanya itu. Pemuda tersebut bertindak menggantungkan dirinya di bilik 342 ketika berlangsungnya perkahwinan itu.
5. Bourbon Orleans, Amerika Syarikat
Hotel ini yang dahulunya digunakan sebagai rumah anak yatim dikhabarkan mempunyai ramai penghuni alam ghaib dari pelbagai era. Hantu yang sering dijumpai di sini ialah seorang kanak-kanak perempuan yang sedang bermain guli di koridor tingkat 6.
Selain itu, ada yang mengatakan bahawa mereka juga pernah terserempak dengan roh seorang askar yang dipercayai mendiami aras 3 dan 6 hotel ini. Roh seorang penari juga sering kelihatan di dewan tarian hotel tersebut. Bukan biasa-biasa, hantu pun pandai menari!
Setiap tempat pastinya menyimpan seribu satu sejarah. Buat mereka yang meminati kisah seram, bolehlah pergi bercuti dan menginap di hotel-hotel yang disenaraikan di atas.