Industri perfileman di negara kita jarang sekali menghasilkan filem yang bergenre sukan berbanding dengan negara luar. Mereka menjadikan sukan sebagai subjek utama yang diketengahkan dalam industri perfileman mereka.
Namun begitu, filem sukan telah mendapat tempat di hati penerbit filem. Jadi, kami akan kongsikan filem tempatan yang menampilkan aksi sukan sebagai intipati filem mereka.
1. Baginda
Baginda adalah sebuah filem masyarakat arahan Aziz M.Osman, yang ditayangkan di pawagam Malaysia pada 1997. Filem yang dibintangi oleh Azean Irdawaty, Jalil Hamid dan Datuk Jalaluddin Hassan ini merupakan filem mengangkat tema kesedaran guru memilih antara niat ikhlas untuk mengajar atau wang ringgit. Filem ini juga mengangkat sukan bola tampar di akhir jalan penceritaan.
2. Libas
Filem Libas merupakan sebuah filem bertemakan komedi kesukanan. Filem ini merupakan arahan Jurey Latiff Rosli yang pernah memenangi anugerah Pengarah Drama Terbaik, Anugerah Seri Angkasa. Ia ditayangkan di pawagam Malaysia pada 29 September 2011. Filem ini diterajui oleh pelakon Dato Rosyam Nor, Scha Al-Yahya, Adam Corrie dan ramai lagi. Filem ini telah mengangkat tema kesukanan yang tidak asing lagi dikalangan rakyat Malaysia, iaitu sepak takraw.
3. Rembat
Filem Rembat ini dibintangi oleh Shaheizy Sam, Aniu, Zizan Razak, Sherry Alhadad, Zulin Aziz, Zara Zya dan ramai lagi. Filem ini diarahkan oleh Shamyl Othman dan bergenre komedi yang berkisarkan tentang bola sepak.
Filem yang mengisahkan perjalanan dua peminat tegar pasukan Harimau Malaya yang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran untuk menyaksikan perlawanan bola sepak antara Thailand dan Malaysia.
4. Jejak Warriors
Filem ini di bawah arahan Saw Teong Hin yang membariskan pelakon ternama seperti Pekin Ibrahim, Nadiya Nisaa, Bell Ngasri, Allahyarham Harun Salim Bachik dan ramai lagi. Apa yang menarik tentang filem ini adalah ia menampilkan pemain bola sepak Kelantan seperti Wan Zack Haikal, Khairul Fahmi Che Mat dan Ahmad Fakhri Saarani.
Jejak Warriors sebuah kisah pengembaraan mengenai seorang remaja (Wan Raja) untuk berjumpa dengan pasukan bola sepak pujaan beliau iaitu The Red Warriors. Beliau telah menempuhi pelbagai dugaan dan cabaran namun beliau tidak berputus asa untuk mencapai cita-citanya.
5. Ola Bola
Filem ini mendapat sambutan hangat dan menerima maklum balas yang sangat positif daripada kalangan penonton. Filem arahan Chiu Keng Guan dan dibintangi oleh JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran, Marianne Tan, Katrina Ho, Bront Palarae, Taufiq Hanafi dan Frankie Lee. Ia mengisahkan mengenai kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik Moscow 1980.
So, mana satu antara filem di atas menjadi kegemaran korang?
Sumber: Gempak