Jika filem-filem superhero atau adiwira dari barat ditayangkan, penonton dari seluruh dunia termasuklah di Malaysia berpusu-pusu memenuhi pawagam pada hari pertama. Keterujaan mereka untuk menjadi yang terawal menonton filem adiwira dari barat sangat tinggi dalam diri sehingga mengagung-agungkan dan melupakan hasil kerja tempatan.
Hal ini kerana, antara salah satu sebabnya adalah industri perfileman Malaysia sendiri tidak begitu kompetetif dan kurang kepakaran dalam menghasilkan filem dengan genre sebegini.
Jika dihasilkan sekalipun, ia kekurangan dari pelbagai segi yang membuatkan penonton tempatan tidak berminat. Akan tetapi, filem adiwira tempatan masih mempunyai peminat tersendiri. Antaranya adalah:
1. Cicak-Man
Cicak-Man merupakan sebuah filem adiwira komedi yang dikeluarkan pada tahun 2006 dan diarahkan oleh Yusry Abdul Halim. Filem ini merupakan yang pertama dalam genre ini dan menampilkan hampir 40% penggunaan CGI.
Pelakon Saiful Apek memainkan watak protagonis iaitu Hairi seorang yang pemalu dan memperoleh kekuatan seperti seekor cicak secara tidak sengaja. Tidak biasa dengan kuasanya, Hairi mencuba yang terbaik untuk menyesuaikan dirinya yang baru ketika tinggal di bandar fiksyen, Metrofulus.
Sambungannya pula adalah Cicakman 2: Planet Hitam, dikeluarkan pada 11 Disember 2008 di Malaysia, Singapura dan Brunei. Seterusnya, filem ketiga bertajuk Cicak Man 3 telah dikeluarkan pada 12 Mac 2015 di Malaysia dengan pelakon baru, di mana Zizan Razak mengambil alih tempat protagonis Saiful Apek.
2. Badang
Seperti yang semua tahu, Badang adalah watak lagenda yang berubah menjadi kuat selepas memakan muntah jin, yang mana ditangkap ketika mencuri hasil tangkapan ikannya.
Namun, antara yang paling popular dan kekal dalam ingatan penonton adalah versi lakonan Dato Alif Syukri yang mana telah menimbulkan pelbagai kontroversi. Antaranya adalah melalui pelakon utamanya yang dikatakan kurang berkemahiran dalam bidang lakonan dan hanya menjadi watak utama disebabkan oleh pengaruh dan kekayaannya.
Kontroversi lain filem arahan Profesor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen termasuklah mutu dan kualiti penceritaan yang rendah membuatkan ia menjadi bahan ketawa penonton tempatan menjurus kepada kutipan yang agak rendah iaitu sekitar RM74,148.67 sahaja.
3. Armour X
Mungkin ramai yang tak mengetahui namun Armour X agak menarik dan memberikan satu nafas baru kepada perfileman Malaysia dengan genre yang sebegini. Ia mengisahkan tentang situasi pada masa hadapan, satu skuad khas dikenali sebagai Cyber SWAT menghadapi ancaman kumpulan pengganas yang diketuai Fernandez Carlos.
Skuad elit Cyber SWAT telah ditewaskan oleh pengganas apabila senjata mereka mampu merobek pakaian armour pasukan Cyber SWAT. Namun, siri Armour X diterbitkan oleh sebuah syarikat produksi multimedia tempatan yang dikenali sebagai Shen’s Imagineering dalam bentuk 4 siri VCD.
Selain itu, penghasilan filem ini juga dibantu oleh syarikat motosikal Kris yang menyumbangkan motosikal prototaip untuk digunakan ketika penggambaran.
4. Mantera
Mantera mengisahkan seorang anak muda yang mempunyai kuasa luar biasa. Mantera bukan hanya sekadar nama tetapi ia mempunyai maksud di sebaliknya iaitu manusia jentera atau Man Transformable Exo-Robotic Armor.
Kisah ini memaparkan perselisihan dua kumpulan robotik, sama seperti yang berlaku dalam filem Transformers dan Iron Man. Mempertaruhkan dua wajah yang masih baru dalam industri perfileman tanah air sebagai tunjang utama iaitu Tomok dan Shiqin Kamal.
Pemenang musim ketiga One In A Million (OIAM) ini yang memegang watak hero yang bernama Azman dan Syiqin, artis baru yang membintangi filem Lagenda Budak Setan pula menjadi heroin filem ini iaitu Deena. Filem ini menjalani proses pasca produksi membabitkan penggunaan imej janaan komputer (CGI).
5. Wira Waja
Wira Waja adalah antara karakter adiwira yang memiliki kostum paling cool. Kisahnya bermula di mana seorang ejen elite bernama Razif secara tidak sengaja telah menyuntik solusi nano ketika berlaku satu serangan ganas di makmal rahsia yang Razif sedang bekerja.
Solusi Nano ini menyebabkan Razif bertukar menjadi cyborg yang memiliki kehebatan luar biasa. Wira Waja dilengkapi dengan sut-Bio dan berusaha keras untuk menentang pihak lawannya iaitu Kerambit Merah.
Seperti plot cerita adiwira yang lain, pihak jahat telah menculik Daphne Iking untuk mengugut Wira Waja. Drama ini diarahkan oleh Zaki Zamani Osman.
Walaupun ia tidak setanding dengan filem-filem antarabangsa yang lain tetapi ia sesuatu yang perlu dibanggakan. Jadi, amat rugilah sekiranya superhero ini dilupakan oleh rakyat Malaysia.