5 Filem Patriotik Ini Pasti Membangkitkan Semangat Cintakan Negara Dalam Diri Kita

Malaysia akan menyambut hari kemerdekaannya yang ke-61 pada 31 Ogos ini. Bertuah dan bersyukurlah kita sebagai rakyat kerana negara yang tercinta ini telah bebas daripada cengkaman mana-mana pihak penjajah sejak tahun 1957.

Bayangkan saja apalah nasib yang bakal menimpa kita semua jika negara kita masih lagi bergelodak dengan peperangan seperti Syria dan Palestin – penulis pasti tidak berkesempatan untuk menulis artikel ini.

Di sekolah, acap kali kita dengar tentang kisah-kisah perjuangan para pejuang terdahulu dalam usaha menuntut kemerdekaan. Selama lima tahun (ada yang enam tahun) melalui zaman persekolahan sekolah menengah, penulis pasti kita semua mengetahui fakta-fakta sejarah ini disebabkan oleh matapelajaran Sejarah. Kalau tak, tak tahu pun kan?

Dalam usaha untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga untuk membantu para pelajar memahami peristiwa-peristiwa bersejarah, beberapa buah filem bertemakan patriotik telah dihasilkan.

Berikut merupakan antara filem-filem patriotik yang diadaptasi daripada peristiwa sebenar para pejuang negara dalam usaha untuk menuntut kemerdekaan Malaysia.

 

#1. Bukit Kepong

Filem Bukit Kepong yang memasuki panggung pada tahun 1981 ini berkisarkan mengenai perjuangan pihak polis menentang komunis. Diangkat dari kisah benar yang berlaku pada tahun 1950, filem arahan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin ini dilakonkan oleh beliau sendiri bersama Allahyarham Hussein Abu Hassan, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi. Filem ini pernah memenangi lapan anugerah pada Festival Filem Malaysia ketiga.

 

#2. Leftenan Adnan

Filem arahan Aziz M Osman ini menyingkap kisah pejuang negara, Leftenan Adnan bersama pasukan tentera Malaya menentang tentera Jepun pada Perang Dunia kedua. Lakonan Hairie Othman sebagai Leftenan Adnan memberi impak besar kepada penonton dalam menghayati karakter hero negara itu. Plot filem ini mengambil latar belakang tahun 1934 ketika tentera British mencari anak muda kampung untuk menyertai tentera.

 

#3. Paloh

Filem terbitan Filem Negara Malaysia bersama FINAS yang ditayangkan pada tahun 2003 ini menyingkap kisah kehidupan dan perjuangan penduduk Tanah Melayu ketika era penjajahan tentera Jepun pada tahun 1944. Filem arahan Adman Salleh ini memberi fokus kepada empat sahabat yang menyertai pasukan tentera Jepun. Malangnya, berlaku konflik apabila mereka mengkhianati bangsa mereka sendiri untuk membalas dendam. Filem ini menampilkan gandingan pelakon hebat seperti Janet Khoo, Nam Ron, Gibran Agi dan Ellie Suriaty.

Filem ini membelanjakan kos pembikinan sebanyak RM3 juta pernah memenangi anugerah Khas Juri pada Festival Filem Asia Pasifik ke-48 dan mengungguli lapan anugerah termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17.

 

#4. 1957: Hati Malaya

Membawa kelainan daripada watak pejuang kemerdekaan ketika mempertahankan Tanah Melayu, filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba ini menyingkap sejarah pejuang negara menerusi lima watak anak muda pada zaman pasca merdeka – Hali lakonan Rusdi Ramli, Salmi (Maya Karin), Rafik (Adlin Aman Ramlie), Ani (Sharifah Amani) dan Ang Lee (Douglas Lim). Lima orang anak muda ini berusaha untuk memahami peristiwa bersejarah yang pernah berlaku sebelum kemerdekaan negara berjaya dituntut.

Filem ini diterbitkan bersempena dengan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-50 pada tahun 2007. Filem ini berjaya meraih lima anugerah pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) dan dua anugerah iaitu Anugerah Khas Juri dan Penataan Bunyi Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2008.

 

#5. Tanda Putera

Satu lagi kisah sejarah negara diterbitkan oleh pengarah Datin Paduka Shuhaimi Baba yang pernah ditayangkan pada 29 Ogos 2013.

Plot tertumpu pada kisah persahabatan Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail termasuk peristiwa berdarah, 13 Mei 1969. Dalam filem ini, penonton menyelami kehidupan Perdana Menteri Malaysia kedua itu yang merahsiakan penyakit leukemia yang dihidapinya daripada pengetahuan keluarga selain bimbang akan keselamatan negara ketika itu. Hal ini demikian kerana Malaysia ketika itu berdepan dengan ancaman komunis termasuk pembunuhan Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Perak.

Penyertaan filem ini menerusi Festival Filem Malaysia ke-26 juga membuahkan hasil apabila meraih enam anugerah termasuk Pelakon Lelaki Terbaik (Rusdi Ramli) dan Anugerah Khas Juri.

Filem ini juga mencetuskan kontroversi kerana paparan peristiwa 13 Mei 1969 sehingga ia ditangguhkan tarikh tayangan dari 13 September 2012 kepada 15 November 2012.

 

Sumber: Astro Awani dan Rojak Daily

Artikel Lain Untuk Di Baca