5 Filem P.Ramlee Yang Patut Anda Kenang Sepanjang Zaman

Pemergian Allahyarham P.Ramlee sudah lebih empat dekad lamanya. Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh atau dikenali sebagai P.Ramlee dilahirkan pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang dan merupakan seniman terkenal suatu ketika dahulu. Kehebatan beliau berkarya dapat dilihat melalui terbitan filem dan lagunya.

Kami akan kongsikan 5 filem arahan P.Ramlee yang patut anda kenang sepanjang zaman.

1. Pendekar Bujang Lapok

Sumber: thepatriots.asia

Filem ini merupakan filem kedua bagi siri Bujang Lapok yang dibintangi oleh Allahyarham P.Ramlee, Allahyarham S Shamsuddin dan Allahyarham Aziz Sattar. Pada tahun 1959, filem Pendekar Bujang Lapok ini berjaya memenangi Anugerah Komedi Terbaik di Festival Filem Asia ke-6.

Filem ini mengisahkan tiga orang lelaki bujang iaitu Ramli, Sudin dan Ajis yang ingin berguru bersama seorang guru silat, Wak Mustarjo. Pada waktu yang sama, mereka bertiga bersaing sesama sendiri untuk memikat hati Rosnah, anak Wak Mustarjo.

2. Tiga Abdul

Sumber: siakapkeli.my

Kisah Tiga Abdul ini menceritakan tiga orang adik beradik iaitu Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Abdul Wahub yang mewarisi kekayaan daripada arwah bapanya. Sikap tamak kedua-dua abang Abdul Wahub akhirnya memakan diri mereka dan beliau terpaksa menyelamatkan abang-abangnya daripada masalah yang dihadapi oleh mereka.

Filem ini juga mempunyai banyak pengajaran yang boleh diambil seperti sikap tamak akan memakan diri dan sepatutnya tidak perlu ada sifat dengki antara sesama adik-beradik atau keluarga.

3. Ibu Mertuaku

Sumber: pumponthego.com

Filem ini mengisahkan percintaan antara Kassim Selamat dan Sabariah Mansor yang sangat tragis dan berjaya mengusik emosi penonton. Perkahwinan mereka tidak direstui oleh ibu Sabariah iaitu Nyonya Mansoor dan pelbagai muslihat dilakukannya untuk memisahkan mereka berdua.

Antara babak yang popular adalah di mana Kasim Selamat sanggup mencucuk matanya dengan garpu apabila mendapat tahu perkara sebenar tentang isterinya. Filem ini diinspirasikan daripada kisah sebenar di mana bapa Allahyarham P.Ramlee sendiri menjadi buta kerana terlalu merindui anaknya yang jauh.

4. Madu Tiga

Sumber: gallerywarisan.blogspot.com

Filem Madu Tiga berjaya mencuit hati penonton dengan lawak-lawak yang ada di dalam filem tersebut. Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Jamil yang mempunyai tiga orang isteri iaitu Latifah, Hasnah dan Rohani serta perkahwinannya dirahsiakan daripada pengetahuan isteri-isterinya.

Dengan kekuatan filem ini, beliau berjaya mendapat Anugerah Filem Komedi Terbaik di Festival Filem Asia ke-11 di Taipei. Ini merupakan anugerah terakhir yang diterima oleh beliau pada peringkat ini.

5. Anakku Sazali

Sumber: twitter.com

Filem Anakku Sazali ini sangat istimewa kerana Allahyarham P.Ramlee berjaya membawa dua watak dalam filem ini. Beliau membawa watak sebagai seorang bapa yang mempunyai kemewahan dan memanjakan anaknya dengan menuruti segala permintaanya. Beliau juga memainkan watak sebagai Sazali, anak yang dimanjakan tersebut.

Filem ini memberi pengajaran kepada ibu bapa bahawa mendidik anak bukanlah dengan hanya memberikan harta benda semata-mata. Kehebatan beliau memegang dua watak telah memenangi hati juri dan mendapat Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.

Jadi, mana satu filem Allahyarham P.Ramlee yang menjadi kegemaran anda?

Artikel Lain Untuk Di Baca