5 Filem Korea Selatan Yang Gerenti Buat Anda Menangis Tak Cukup Tisu

Selain babak romantis dan aksi, cerita-cerita dari negara kimchi ini juga tidak kalah dalam menyentuh emosi dan hati penontonnya.

Di bawah ini, kami kongsikan lima filem Korea yang akan menyebabkan kotak tisu di rumah anda kosong!

1. Wedding Dress

Ko-woon, seorang ibu tunggal dan pereka gaun perkahwinan telah disahkan menghidap kanser. Hayatnya tidak lama, justeru dia melatih anak perempuannya, So Ra yang berusia 9 tahun untuk berdikari dan boleh hidup tanpanya.

Bila kesihatan Ko-Woon semakin merosot, So Ra akhirnya mendapat tahu tentang kanser itu dan cuba penuhkan satu per satu harapan ibunya dalam rahsia.

Tonton trailer filem ini:

2. Miracle in Cell No. 7

Filem ini mengisahkan seorang bapa autistik, Lee Yong Gu yang dituduh melakukan jenayah ke atas seorang kanak-kanak perempuan walaupun dia sebenarnya tidak bersalah. Pertuduhan itu memisahkan Yong Gu dengan anak perempuannya, Yesung.

Sementara menunggu perbicaraan, dia ditempatkan di Cell No. 7, penjara yang dihuni banduan ganas-ganas. Rakan-rakan satu sel dengan Yong Gu cuba seludup Yesung masuk ke dalam penjara untuk satukan dua beranak itu.

Tiga kali penulis tonton penamat filem ini, tiga kali jugalah ‘banjir.

Tonton trailer filem ini:

3. Silenced

Berdasarkan kisah benar, seorang guru bernama Gang In-ho membongkar kes penderaan seksual dan fizikal di sebuah sekolah khas untuk kanak-kanak masalah pendengaran.

Dengan bantuan seorang aktivis, mereka berjuang habis-habisan untuk mendedahkan dan mengheret para pesalah yang terdiri daripada komuniti pengajar itu sendiri ke muka pengadilan.

Sedih apabila melihat kanak-kanak kelainan upaya yang sepatutnya dilindungi ini menjadi mangsa orang dewasa yang akalnya diletakkan di kepala lutut.

Tonton trailer filem ini:

4. Be With You

Berlatarkan hujan, filem melankolik ini mengisahkan Woo Jin yang menjaga anak lelakinya sendirian selepas kematian isterinya, Soo A.

Sebelum meninggal, Soo A berjanji untuk kembali lagi setahun kemudian pada hari pertama hujan. Janjinya ditepati tetapi memori Soo A hilang.

Namun apakan daya, pertemuan singkat mereka akan membuat hati anda berkecai apabila Soo-ah harus pergi meninggalkan keluarganya buat selama-lamanya pada penghujung musim hujan.

Tonton trailer filem ini:

5. A Werewolf Boy

Seorang remaja perempuan baru berpindah ke sebuah kampung. Di sana, dia terjumpa seorang ‘budak serigala’ yang suka bersembunyi di tempat gelap. Perempuan tersebut mengajarnya cara-cara memakai baju, bercakap, menulis dan makan seperti manusia normal.

Lama-kelamaan lelaki serigala tersebut jatuh cinta sebab perempuan itu satu-satunya orang yang pernah tunjuk kasih sayang terhadapnya.

Namun apabila terancam, lelaki itu mula jadi ganas seperti serigala dan menakutkan penduduk kampung.

Demi selamatkan lelaki serigala, perempuan itu terpaksa tinggalkannya dengan satu janji, “Tunggu saya, nanti saya datang balik demi awak.”

Tonton trailer filem ini:

Anda pernah tonton filem Korea yang lebih sedih? Kongsikan bersama kami di ruangan komen.

Untuk baca lagi artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca