5 Fakta Menarik Yang Wajib Anda Tahu Mengenai Jenis Darah Anda

Anda mungkin beranggapan bahawa mengenali jenis darah anda adalah hanya bertujuan untuk menderma darah, bukan? Namun, tanpa kita sedari, ia sebenarnya boleh menjadi petunjuk utama yang boleh mendedahkan tahap kesihatan kita terhadap penyakit-penyakit yang berisiko tinggi.

Terdapat 4 jenis darah utama yang wujud dalam populasi manusia di seluruh dunia iaitu A, B, O dan AB. Setiap jenis darah itu juga mempunyai subjenis. Berikut adalah 5 fakta yang anda perlu ketahui mengenai jenis darah anda:

1. Kumpulan darah O 2 kali ganda lebih cenderung digigit nyamuk

Anda pasti perasan bahawa segelintir individu lebih digemari nyamuk berbanding yang lain. Tidak menghairankan kerana nyamuk menggigit kita untuk mendapatkan sumber protein.

Kajian mendapati bahawa dalam keadaan yang dimalarkan, nyamuk mendarat pada individu dengan darah jenis O hampir 2 kali ganda berbanding dengan darah jenis A.

Bukan itu sahaja, berdasarkan gen yang lain, kira-kira 85% orang mengeluarkan tindak balas kimia melalui kulit mereka yang menunjukkan jenis darah yang mereka miliki, manakala 15% tidak, dan nyamuk juga lebih tertarik kepada 85% individu yang mengeluarkan tindak balas kimia tersebut tanpa mengira jenis darah mereka.

2. Kumpulan darah A, B dan AB lebih berisiko menghidapi penyakit jantung dan kardiovaskular

Menurut kajian yang dikemukakan baru-baru ini di Heart Failure 2017 dan Kongres Dunia ke-4 mengenai kegagalan jantung, mereka yang memiliki kumpulan darah selain daripada O mempunyai risiko serangan jantung yang lebih tinggi.

Individu yang mempunyai kumpulan darah AB mempunyai 23% risiko lebih tinggi untuk menghidap penyakit jantung, manakala mereka yang mempunyai kumpulan darah B mempunyai 11% risiko dan mereka yang mempunyai kumpulan darah A mempunyai 5% risiko yang lebih tinggi berbanding dengan orang yang mempunyai kumpulan darah O.

3. Kumpulan darah AB lebih berisiko menghidapi demensia atau masalah ingatan

Mengapa jenis darah AB dikaitkan dengan risiko kemerosotan kognitif yang lebih tinggi? Hal ini demikian kerana jenis darah ini juga lebih berisiko menghidapi masalah kardiovaskular dan kajian telah menunjukkan hubungan antara masalah jantung dan kemerosotan kognitif.

Di samping itu, risiko penyakit kardiovaskular meningkat dengan beberapa faktor yang sama yang dikaitkan dengan risiko demensia yang lebih tinggi, termasuk obesiti dan diabetes.

4. Kumpulan darah A lebih terdedah kepada stres

Selalu stres dan tidak tahu puncanya? Mungkin kerana anda merupakan individu dengan jenis kumpulan darah A. Mereka dengan kumpulan darah ini kebanyakannya memiliki tahap kortisol (hormon stres) yang lebih tinggi di dalam badan mereka, sementara jenis O menghasilkan jumlah kortisol yang paling rendah.

5. Kumpulan darah B kurang berisiko menghidap masalah pencernaan

Dianggarkan bahawa orang yang mempunyai darah jenis B mengandungi sehingga 50,000 kali ganda bilangan bakteria berbanding dengan mereka yang mempunyai darah A atau O. Oleh itu, mereka mempunyai sistem pencernaan yang paling berdaya tahan dan tidak sensitif terhadap pemilihan makanan.

Manakala, mereka dengan kumpulan darah O lebih terdedah terhadap masalah pencernaan kerana mereka memiliki kandungan asid yang tinggi di dalam perut. Oleh itu, walaupun mereka boleh mencerna protein dengan baik, mereka perlu berhati-hati terhadap pengambilan lemak dan karbohidrat yang berlebihan.

Bagi kebanyakan penyakit kronik, gaya hidup dan faktor lain dapat meningkatkan atau mengurangkan risiko lebih daripada apa yang jenis kumpulan darah anda beritahu.

Jenis kumpulan darah hanyalah memainkan peranan yang kecil dalam menentukan tahap kesihatan anda. Secara umumnya, cara untuk mengurangkan risiko penyakit kronik adalah dengan berhenti merokok, mengamalkan diet sihat dan juga kerapkan bersenam.

Penulis

  • Atikah Zakaria adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca