Negeri Terengganu merupakan sebuah negeri yang terkenal dengan tempat pelancongan yang menarik. Negeri ini mempunyai persisiran pantai yang terpanjang di Malaysia iaitu dari Kemaman hingga ke Besut.
Di negeri ini juga terdapat pulau-pulau yang mempunyai pemandangan pantai yang indah dan mempesonakan serta air laut yang jernih. Pulau-pulau ini sangat terkenal sehingga menjadi tumpuan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
Antara pulau-pulau yang terkenal di Terengganu ialah:
1. Pulau Perhentian
Pulau Perhentian ini terletak kira-kira 19km dari Jeti Kuala Besut, Terengganu. Pulau ini terbahagi kepada 2 pulau iaitu Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar.
Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Pulau Perhentian adalah seperti scuba, snorkeling, parasailing, jungle trekking dan juga mandi-manda bertemankan air yang sangat jernih.
Pulau perhentian juga menjadi destinasi pilihan sebagai tempat percutian kepada backpacker kerana terdapat banyak chalet bajet yang murah.
2. Pulau Redang
Pulau Redang terletak kira-kira 46km dari persisiran pantai Terengganu. Pulau ini merupakan pulau yang terbesar berbanding dengan semua pulau yang terdapat di perairan negeri Terengganu. Para Pelancong boleh pergi ke Pulau Redang melalui jeti di Kuala Terengganu (Jeti Shah Bandar).
Untuk penginapan pula, banyak resort yang sesuai untuk anda bermalam. Antara resort popular di Pulau Redang ialah Redang Pelangi Resort, Redang Lagoon Chalet, Sari Pacifica Hotel, Resort & Spa dan Redang Mutiara Beach Resort.
3. Pulau Kapas
Pulau Kapas terletak berdekatan dengan bandar Kuala Terengganu dan sekiranya anda hendak pergi ke sana, anda boleh menaiki bot dari jeti di Marang. Pulau Kapas tidaklah sebesar Pulau Perhentian dan Pulau Redang.
Kebiasaannya, pelancong datang ke sini lebih kepada untuk bersantai dan tenangkan fikiran. Antara aktiviti yang terdapat di sini ialah berjemur di pantai, diving dan snorkeling. Di sini, terdapat ciptaan alam seperti terumbu karang, ikan-ikan cantik dan air yang jernih.
4. Pulau Tenggol
Pulau Tenggol juga terletak di perairan negeri Terengganu. Lokasinya terletak akhir sekali dari jajaran kepulauan kecil di sini termasuklah Pulau Perhentian dan Pulau Redang.
Di sini, terdapat hotel dan juga resort untuk penginapan para pelancong. Antara yang menjadi tumpuan pelancong di pulau ini adalah bot-bot lama hasil tinggalan pelarian Vietnam selepas Perang Dunia Ke-2.
5. Pulau Lang Tengah
Nama Pulau Lang Tengah cukup sesuai dengan lokasinya yang terletak di tengah-tengah iaitu antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Perkataan ‘Lang’ pula membawa maksud kehadiran burung-burung helang di pulau ini.
Untuk pergi ke pulau ini, anda perlu menaiki bot dari jeti di Merang, Setiu dan ia mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit untuk sampai ke sana.
Sekiranya anda datang ke sini dari bulan Mei ke September, anda mungkin dapat melihat penyu-penyu yang mendarat untuk bertelur di kawasan pantai pulau tersebut.
Kesimpulannya, negeri Terengganu merupakan negeri yang sesuai untuk dijadikan destinasi percutian kerana terdapat pelbagai tempat- tempat menarik.
Sebelum merancang percutian anda, penting untuk anda tahu bahawa pulau-pulau di Terengganu ini hanyalah boleh dilawati dari bulan Mac sehinggalah akhir bulan Oktober. Manakala, dari bulan November hingga akhir Februari pula, pulau-pulau ini akan ditutup sementara disebabkan oleh musim tengkujuh.
Penulis
- Wan Mohammad Firdaus Wan Ruslan adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.