“Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah sanggupkah berpisah?”
Satu frasa yang cukup kuat dan dekat di hati kita menggambarkan betapa kasih ibu dan ayah itu sampai bila-bila pun adalah cinta yang paling sejati dan luhur untuk kita semua yang bergelar anak. Sering kita menonton drama atau filem yang antara wataknya punya jalinan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak; kebanyakannya memaparkan moral dan maksud tersirat di sebalik naskhah yang digarapkan. Terdapat juga naskhah-naskhah penulisan yang mengangkat mesej kekeluargaan yang sama.
Berikut dikongsikan 5 pilihan buku bertemakan ibu dan ayah oleh Nami:
Hari ini genap seminggu saya meninggalkan kampung halaman untuk mencari rezeki dan membantu ibu dan ayah saya meneruskan kehidupan. Dan sepanjang saya bekerja di kedai buku I Am Lejen Shop, saya sempat membelek beberapa buah novel – selain novel Lejen sendiri, dan saya terkenangkan mereka berdua.
Saya masih lagi bujang, tidak mempunyai anak. Barangkali masih belum bertemu jodoh. Atau mungkin tak ada jodoh, itu ketentuan yang tertulis di Loh Mahfudz. Tetapi itu tidak menghalang saya untuk memahami apa yang perlu dikorbankan apabila menjadi seorang ayah, atau apa pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya.
Berikut adalah 5 novel yang akan membuatkan anda makin sayang dengan ayah dan ibu, dan rindu dengan semua kenangan bersama mereka.
1. AYAH oleh ANDREA HIRATA
Penulis Lasykar Pelangi ini tidak pernah mengecewakan saya. Dia merupakan salah seorang penulis dari Indonesia yang sering menambat hati saya, dan sebagai penulis, saya telah mendapat inspirasi darinya dengan cukup banyak sekali.
Dalam AYAH, Andrea menggarapkan pengorbanan seorang ayah, Sabari terhadap anaknya, Zorro. Kesempitan hidup selaku seorang miskin kota menyebabkan dia terpaksa banyak beralah demi kebahagiaan anaknya. Bisa menitiskan air mata.
2. NANCY DREW, THE SECRET OF THE OLD CLOCK oleh CAROLYN KEENE
Saya membesar dengan meminati novel-novel siri penyiasatan, dan Nancy Drew adalah salah satu daripadanya. Nancy Drew juga adalah idola saya sepanjang pembesaran saya sebagai seorang kanak-kanak. Tetapi, kekuatan Nancy tidak mungkin akan wujud tanpa watak ayahnya, Carson Drew.
Carson merupakan seorang peguambela, adalah seorang ayah yang banyak membantu Nancy dalam siri novel penyiasatan ini. Dalam cerita ini, Carson membantu Nancy dalam membantu penyiasatan Nancy ke atas misteri kehilangan sebuah jam lama milik Josiah Crowley yang hilang.
Watak Nancy Drew yang sering ada perasaan ingin tahu dan sentiasa dahagakan pengetahuan ini mengingatkan saya terhadap Eleena Mahathir, crush masa zaman sekolah dulu. Ah, kisah lama!
3. BABI (BERCINTA DI BALIK API) oleh AZWAR KAMARUZZAMAN
Novel bestseller Lejen tahun 2013 ini merupakan salah sebuah novel yang cukup rapat di hati saya. Penulisnya, Azwar Kamaruzaman merupakan seorang yang saya kenal rapat dan sangat saya senang peribadinya. Cerita tentang pengorbanan seorang ibu tunggal yang bernama Pauziah yang menjaga tiga orang anaknya dengan menjadi seorang pelacur.
Walaupun dalam cerita ini ibunya memang morally incorrect dalam konteks masyarakat Melayu, tetapi saya melihat dari sudut pengorbanan seorang perempuan untuk menjaga anak-anaknya.
Leman, seorang anak kecil yang cuba mencari jalan menuju Tuhan dan mengenal identiti diri, sentiasa meletakkan ibunya sebagai manusia yang paling penting dalam setiap keputusan yang dibuatnya, meski tiap kalinya itu juga, dia pasti berdepan dengan dugaan yang tak tertanggung.
4. SEYOGIA oleh AMAL HAMSAN
Mesti pelik bila saya pilih ini sebagai novel yang mengingatkan tema ibu bapa, sebab ayahnya yang garang dan suka pukul Jard dan ibunya yang sangat memainkan emosi, menyebabkan dia lari dari rumah, dan bergantung harap dengan pengorbanan abangnya, Jazman.
Tapi bagi saya, watak Kak Mas yang sebenarnya umpama ibu kepada Jard. Kak Mas pada akhirnya membimbing Jard ke jalan yang lebih baik, di samping jiwa Jard yang bergolak selepas berlaku sesuatu yang tak dijangka dalam hidup Jard telah menyentuh emosi saya. Kejadian itu yang membuatkan Jard sedar walaubagaimana sekalipun cara ibu dan ayahnya, dia tidak boleh mengubah hakikat yang merekalah yang melahirkannya ke dunia.
Ini sebuah mahakarya. Terima kasih Amal Hamsan.
5. NATALIA oleh NAMI COB NOBBLER
Watak Ibu selaku watak yang over-protective, saya mendapat inspirasi dari lirik lagu dari kumpulan Pink Floyd, Mother. Namanya kekal misteri, dan tidak diketahui siapa suaminya. Mendapat cacian dari masyarakat kerana membesarkan anaknya, Alif Akbar seorang diri dengan menjahit, dan menjual pisang goreng, Ibu telah banyak berkorban demi masa depan Alif Akbar. Pun begitu, sifatnya yang agak displinitarian telah menyebabkan Alif Akbar terlalu bergantung dengan Ibu, dan tidak mampu membuat keputusan sendiri tanpa Ibu.
Percintaan antara dua bangsa yang dihalang oleh Ibu juga menyebabkan Alif Akbar sentiasa akur dengan Ibu, sehingga Ibu memberi perkenan untuk Alif Akbar berkahwin dengan Zura, seorang wanita yang bercita-cita tinggi untuk menjadi kaya dengan menyertai MLM.
Yang memilih buku,
Nami.
Ada banyak lagi buku yang telah diterbitkan yang mengangkat tema dan konsep kekeluargaan. Rajin-rajinlah mengunjungi kedai-kedai buku berhampiran untuk belek-belek dan beli buku. Di Malaysia kita ada MPH, Kinokuniya, Times, Borders, Gallery Bookstore, SMO, Popular (sekadar menyebut beberapa nama) untuk pilihan kedai buku fizikal, selain banyak kedai-kedai buku online di platform website juga media sosial.
Bacalah, kerana dengan membacalah kita akan mengenal dunia.