Jika anda pernah menaiki tren atau sememangnya seseorang yang sering berulang-alik dengan pengangkutan awam tersebut, anda mungkin biasa bertembung dengan pelbagai ragam penumpang. Ada yang cuba menjual sesuatu produk atau perkhidmatan, ada yang mencuba menyebarkan dakwah, ada yang suka menyanyi dengan kuat dan ada juga yang gemar bergosip di dalam tren.
Walaupun hampir jutaan bilangan orang menaiki tren setiap hari, masih ramai yang tidak mengambil berat tentang perkara seumpama ini
yang sebenarnya mengganggu penumpang lain. Apabila berada di tempat awam, terutama sekali apabila bersesak-sesak di antara ribuan manusia yang tidak dikenali, etika memainkan peranan yang sangat penting.
Paling kerap menjadi bahan kecaman adalah apabila wujud segelintir penumpang dalam tren yang sedang duduk berpura-pura tidak nampak kehadiran wanita mengandung atau warga emas yang berdiri berhampiran. Isu ini bukanlah suatu perkara baru dan bukan sahaja berlaku di Malaysia.
Malah, di Amerika Syarikat, sebuah poster dari tahun 1956 yang terdapat dalam simpanan arkib Muzium Transit New York memaparkan seorang wanita memukul kepala seorang lelaki menggunakan beg tangannya. Lelaki tersebut berdiri di tengah-tengah laluan pintu dan teks poster tertulis, “Pukullah dia lagi! Kami juga tidak suka dengan orang yang suka menghalang pintu.”
Walaupun sudah banyak kempen yang telah dilakukan kerajaan seharusnya tanpa kempen pun kita masih boleh lakukannya dengan sendiri supaya perjalanan menaiki pengangkutan awam tersebut lebih menyenangkan anda dan penumpang lain. Antaranya adalah:
1. Buka Beg Galas
Amalan ini bukan sahaja tertakluk kepada pelajar, malah ia juga harus diamalkan oleh semua penumpang tidak kira orang dewasa yang bekerja, warga emas mahupun pelancong backpackers. Ini disebabkan ramai orang terlupa yang mereka sedang menggalas beg atau tidak menyedari betapa banyak ruang yang mereka gunakan seorang diri.
Jika anda berjaya mendapatkan tempat duduk, pastikan anda meletakkan beg di atas lantai, di antara kedua-dua kaki anda atau boleh saja anda meletakkan di atas riba. Jangan biarkan beg berada di laluan orang ramai kerana penumpang lain boleh terlanggar dan terjatuh disebabkan beg anda.
2. Elakkan “Manspreading”
Perkara ini merujuk kepada penumpang yang sering mengangkang dengan luas sehingga menyebabkan penyumpang lain tidak dapat untuk duduk. Perkara ini sering dilakukan oleh penumpang lelaki.
Mereka akan duduk ‘malas’ sambil mengangkangkan kaki seluas-luasnya sehingga menggunakan ruang sebanyak dua atau tiga tempat duduk sekali gus. Cara duduk sebegini adalah sangat tidak beradab dan membuatkan orang sekeliling berasa tidak selesa, terutama sekali golongan wanita yang duduk bersebelahan atau berdiri berhampiran.
3. Etika Ketika Di Hadapan Pintu Tren
Sebagai rakyat Malaysia yang sering dikatakan mempunyai budi bahasa yang amat tinggi, maka kita perlu faham apabila kita sedang menunggu di platform dan pintu tren terbuka, kita perlu beri laluan terlebih dahulu kepada penumpang dari dalam untuk keluar. Kemudian barulah kita masuk ke dalam tren. Jangan meluru masuk sehingga berlaga-laga di pintu dengan orang yang sedang keluar.
4. Jangan Bersolek Di Dalam Tren
Anda mungkin mempunyai alasan kerana terlewat dan tidak sempat untuk bersolek di rumah dengan alasan bangun lewat. Namun, terlewat bangun tidur bukanlah alasan untuk anda bersiap-siap memakai alat solek serta menghias diri semasa dalam perjalanan di dalam tren.
Jika anda tidak mempunyai masa untuk bersiap-siap dari rumah, anda boleh saja bergerak menaiki tren tanpa secalit make-up dan hanya bersiap apabila tiba di tempat kerja. Hal ini akan membuatkan orang yang berada di sekeliling berasa selesa dengan kehadiran anda.
5. Tiang Pemegang Bukan Untuk Menari Atau Bersandar
Anda pasti pernah menyaksikan sekumpulan anak-anak muda berseronok di dalam kereta api sambil bermain berpusing-pusing gaya akrobatik atau menari-nari di tiang pemegang. Mungkin anda terhibur, nampak macam mereka sedang berseronok. Namun, yang sebenarnya, keadaan itu telah mengganggu keselesaan pengguna lain.
Satu lagi tabiat buruk penumpang kereta api yang berdiri adalah gemar memonopoli tiang. Ini terjadi apabila seseorang sedap bersandar di tiang seolah-olah dia seorang sahaja memilikinya tanpa menghiraukan penumpang di sekeliling yang tercari-cari tempat untuk dipegang.
Tujuan tiang itu dibina adalah agar penumpang boleh berdiri dengan stabil semasa kereta api sedang bergerak atau berhenti. Ia adalah harta awam untuk dikongsi bersama, jadi jangan buat macam tiang itu anda yang punya.
Antara senarai di atas mana satu anda pernah lakukan atau pernah melihat di dalam tren?
Sumber: Advanced Etiquette dan New York Times