4 Tanda Anda Merupakan Manusia Kesayangan Kucing Peliharaan Anda

Berlainan dengan manusia yang mempunyai keupayaan untuk meluahkan kasih sayang dengan kata-kata, kucing meluahkannya dengan cara yang berbeza. Tapi bagaimana caranya untuk kita tahu bahawa kucing itu menyayangi kita?

Berikut merupakan tanda-tandanya:

  1. Mengeram (purring) dengan kuat

Kucing seakan mempunyai sebuah motor khas di dalam tekak yang akan bergetar apabila mereka berada dalam keadaan terhibur. Seringkali, kucing akan mengeram apabila mereka berada dalam keadaan gembira dan selamat. Jadi, apabila anda membelai kucing anda dan mereka mula mengeram, ketahuilah bahawa haiwan itu merasa selesa dengan kahadiran anda.

2. Melaga Kepala

Meninggalkan bau dengan melagakan kepala merupakan naluri haiwan untuk menanda kawasan atau objek. Kucing akan mula melaga dan menggesel kepalanya kepda sesetengan objek untuk menanda kawasan miliknya.

Jadi, apabila kucing kerap kali menggeselkan kepala kepada anda itu merupakan caranya untuk menyampaikan mesej kepada kucing-kucing lain bahawa anda adalah manusia kegemarannya.

3. Memberi Hadiah

Jangan ingat manusia sahaja yang mampu memberi hadiah kepada orang yang tersayang. Kucing juga mampu berbuat sedemikian rupa. Kucing merupakan haiwan yang mempunyai deria memburu walaupun dikurniakan dengan rupa paras yang comel.

Hasil buruan pula akan dikongsi dengan mereka yang mempunyai kepentingan buat si kucing. Jadi, apabila anda bangun dari tidur dan lihat tikus ataupun cicak berada di hadapan katil anda, jangan terkejut pula. Itu merupakan tanda bahawa anda adalah insan yang disayangi oleh si kucing.

4. Kerap Menjilat

Kucing merupakan haiwan yang sangat menitikberatkan kebersihannya dan perbuatan menjilat merupakan cara mereka untuk memastikan bulu mereka berada dalam keadaan bersih. Jadi kalau terdapat kucing menjilat anda, ketahui lah mereka peduli kepada anda. Hal ini kerana, kucing hanya akan melakukan itu dengan mereka yang akrab dengannya sahaja.

Jadi, kucing anda ada menunjukkan tanda-tanda seperti yang dinyatakan atau tidak?

Jika ya, tahniah kerana anda berjaya mendapatkan kepercayaan dari haiwan peliharaan anda. Jika tidak, teruskan usaha dengan melimpahkan kasih sayang anda kepada mereka. Kucing merupakan haiwan yang cepat mempercayai.

Jadi, usaha anda pasti akan membuahkan hasil nanti!

Penulis

  • Norfarisha Farhana binti Abdullah adalah pelajar Fakulti File, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof. Madya Dr. Mohd Syuhaidi Bin Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan dengan kucing, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca