Perkahwinan merupakan satu detik bersejarah buat pasangan pengantin yang sudah bersedia untuk menempuh alam rumah tangga.
Biasanya selepas akad nikah, majlis resepsi akan diadakan untuk meraikan tetamu sebagai memenuhi tuntutan agama agar sesebuah perkahwinan itu dihebahkan. Ia juga bertujuan untuk mengelak daripada berlakunya fitnah dan hendaklah diadakan secara bersederhana tanpa pembaziran.
Namun, terdapat beberapa sikap buruk tetamu yang hadir dalam sesebuah majlis perkahwinan telah menyebabkan para tetamu yang berada di sekeliling berasa tidak selesa. Jadi, kami kongsikan 4 sikap buruk tetamu ketika hadir ke majlis perkahwinan. Antaranya adalah:
1. Merungut Tentang Makanan
Makanan yang dihidangkan kepada tetamu antara perkara yang paling penting dan bilangan lauk-pauk juga diambil kira oleh tuan rumah supaya semua para tetamu dapat menjamu selera dengan seleasa. Namun, ada segelintir tetamu yang suka mengkritik makanan yang dihidang di majlis tersebut seperti kurang enak dan tidak banyak pilihan. Maka hal sebegini menyebabkan tuan rumah terasa hati dengan apa yang diucapkan oleh para tetamu.
Keadaan ini juga akan menjadi buah mulut orang kampung kerana mereka beranggapan bahawa tuan rumah tidak pandai melayan tetamu. Lebih buruk lagi, jika ada tetamu yang mengalami sakit perut selepas majlis itu, setahunlah orang akan bercakap buruk tentang ahli keluarga pengantin.
2. Mengata Pengantin
Sikap ini sudah menjadi kebiasaaan kepada tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan. Ketika pasangan pengantin berada di atas pelamin, akan ada sesetengah tetamu menjadi juri awam. Biasanya pasangan pengantin akan menjadi buah mulut jika personaliti atau fizikal mereka kurang menarik. Selalunya yang menjadi mangsa buah mulut ialah pengantin perempuan.
3. Salam Keruk Sampul Kosong
Datang ke majlis perkahwinan dan makan sehingga berpinggan-pinggan akhirnya hanya menghulur sampul kosong kepada tuan rumah. Perkara sebegini sering berlaku di kampung-kampung kerana para tetamu perlu menghulukan duit salam kepada tuan rumah. Namun, kebanyakan hanya memberi sampul kosong yang tidak mempunyai duit di dalamnya.
Bagi bakal raja sehari, anda jangan terkejut semasa sesi membuka hadiah dan ‘ang pau’, jika anda menerima banyak sampul kosong.
4. Minta Lebih Goodies Atau Buah Tangan
Selain bunga telur, pihak keluarga pengantin akan meyediakan buah tangan buat tetamu sebagai kenang-kenangan kerana menghadiri majlis perkahwinan yang diadakan. Terdapat juga sesetengah tetamu meminta lebih daripada satu barangan yang diberikan oleh tuan rumah. Cuba anda bayangkan kalau yang hadir itu membawa lima orang anak, sudah berapa banyak buah tangan tuan rumah terpaksa berikan untuk sebuah keluarga itu?
Apa-apa pun, sebagai tetamu yang menghadiri sesebuah majlis kahwin, sikap hormat kepada tuan rumah adalah perkara yang paling penting kerana tuan rumah sudah menyajikan makan dan melayan anda dengan sebaik mungkin serta bukan mudah untuk menguruskan majlis perkahwinan kerana ia melibatkan kos yang tinggi.
Jadi, jika anda melihat apa juga kelemahan ketika menghadiri majlis perkahwinan, anda tidak perlu memberikan banyak komen sebaliknya jadikan majis itu sebagai tempat mengeratkan silaturahim.