4 Perkara Yang Anda Perlu Periksa Sebelum Membeli Kereta Terpakai

Kereta merupakan keperluan yang cukup penting bagi kita semua. Namun begitu, bukan semua orang mampu untuk membeli kereta baharu. Pada masa yang sama, ada yang menyatakan bahawa membeli kereta terpakai sangat berisiko kerana kereta itu mudah mengalami kerosakan berat dan kita terpaksa mengeluarkan modal untuk membaikinya.

Di sini, kami kongsikan 4 perkara yang perlu anda periksa sebelum membeli kereta terpakai:

1. Cat pada kereta

Kereta yang mempunyai cat asal adalah lebih baik berbanding kereta yang sudah dicat ke warna yang lain. Sekiranya kereta tersebut masih menggunakan warna cat asal bermakna ia bebas daripada kemalangan.

Selain itu, ada sesetengah penjual mengecat kereta menggunakan cat yang murah kerana ingin mendapat keuntungan yang lebih. Oleh itu, jangan mudah terpengaruh dengan cat baharu yang berkilat itu. Anda boleh menyemak warna asal kereta di dalam geran.

2. Pandu uji

Ini langkah yang sangat penting. Jangan sesekali beli kereta tanpa pandu uji terlebih dahulu kerana kita mungkin akan ditipu. Mula-mula, hidupkan enjin kereta dan biarkan selama 10 hingga 15 minit. Selepas itu baru kita boleh pandu uji.

Proses pandu uji penting kerana kita yang ingin memakai kereta tersebut. Anda boleh menilai sendiri keadaan kereta tersebut apabila anda memandunya. Sebaik-baiknya, anda bawalah mekanik yang arif tentang kereta semasa anda ingin membeli kereta terpakai.

3. Tayar kereta

Bahagian ini juga penting untuk anda periksa kerana kita tidak tahu sama ada bunga tayar itu masih elok dan boleh digunakan beberapa bulan lagi. Rugilah beli kereta dalam keadaan tayar botak kerana kita terpaksa mengeluarkan modal untuk menukar tayar tersebut.

Andai kata kereta tersebut menggunakan tayar terpakai, periksa tayar tersebut dengan teliti. Takut sudah sampai tarikh luput dan boleh pecah walaupun bunga masih elok. Ini boleh menyebabkan anda kemalangan apabila tayar kereta anda pecah semasa memandunya.

4. Semak mileage kereta

Memeriksa mileage amat penting kerana kereta yang telah berjalan jauh atau kerap dipandu secara normal akan cepat haus dan lusuh. Lagi tinggi nilai perbatuan (jauh berjalan), lagi rendah nilai jual semula kereta itu.

Oleh itu, anda mestilah mencari kereta pada mileage yang rendah atau sederhana kerana keadaan enjin kereta itu masih baik.

Jika anda ingin membeli kereta terpakai, anda perlu ambil berat kesemua perkara yang disenaraikan di atas.

Penulis

  • Wan Mohammad Firdaus Bin Wan Ruslan adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca