4 Perkara Yang Anda Boleh Pelajari Daripada Marie Kondo

Kerja mengemas rumah sangat memenatkan lebih-lebih lagi apabila sudah mempunyai anak kecil. Tugas seperti ini seolah-olah tiada kesudahan bagi para ibu. Ada sahaja barang dan permainan anak yang perlu dikemaskan. Sepatutnya, kerja mengemas rumah boleh dilakukan dengan mudah jika mempunyai cara yang betul.

Kami kongsikan teknik KonMari mengemas rumah dengan mudah. Teknik KonMari diambil di dalam buku “The Life-Changing Magic Of Tidying Up” oleh Marie Kondo. Beliau ialah seorang perunding pengatur yang berasal dari Jepun. Sejak penerbitan buku tersebut, Marie Kondo telah menjadi sumber inspirasi dalam kalangan penulis blog minimalis dan orang ramai. Ini adalah 4 tips untuk anda mengemas rumah mengikut cara KonMari.

1. Bayangkan gaya ideal anda

Sebelum memulakan kerja mengemas, sebaiknya fikir tentang gaya ideal untuk rumah anda. Anda boleh mencari di internet atau majalah yang sesuai untuk gaya yang anda impikan. Catatkan di buku atau lukis di kertas untuk divisualkan bagaimana anda mahu menghias rumah anda. Ini akan membuatkan anda lebih teruja dan bersemangat untuk mengemas rumah dan merealisasikan gaya anda.

2. Mengemas mengikut kategori, bukan bilik

Anda boleh mengemas mengikut kategori seperti pakaian, buku, kertas, barang-barang lain (Komono) dan barang sentimental. Anda dinasihatkan untuk mengemas pakaian terlebih dahulu kerana ia tidak melibatkan banyak emosi berbanding barang yang lain.

Selain itu, anda boleh membuat sub-kategori bagi setiap barang. Contohnya, asingkan pakaian mengikut sub-kategori seperti baju kurung, t-shirt dan kemeja. Apabila kita mengemas mengikut kategori, ia lebih teratur dan tersusun.

3. Lipat – jangan gantung

Teknik susunan pakaian memainkan peranan penting. Cara lipatan mengikut KonMari adalah secara menegak. Apabila menggunakan cara ini, ia mudah dicari dan lebih senang untuk diambil keluar. Cara ini nampak lebih kemas dan menjimatkan ruang almari anda. Anda juga boleh menggunakan lebihan kotak kasut untuk dijadikan sebagai pembahagi laci supaya ia lebih teratur dan tersusun.

4. Simpan barang yang buat anda gembira

Sebelum anda membuat pilihan, ambil dan pegang barang tersebut kemudian tanya pada diri sendiri adakah ia membuat hati anda gembira? Jika ya, simpan dan letakkan di tempat yang sepatutnya. Jika tidak, buang atau dermakan kepada pihak yang memerlukan. Secara tidak langsung, ia mengajar kita untuk menyimpan barang yang perlu sahaja.

Dengan cara ini, rumah anda akan lebih kemas, teratur dan tersusun. Sesiapa yang melihatnya pasti terasa tenang dan selesa berada di dalamnya. Semua barang tersusun rapi pada tempatnya.

Jadi, inilah pilihan yang terbaik untuk mengemas rumah bagi kaum ibu di luar sana. Sebenarnya, teknik ini bukan sahaja bermanfaat untuk para ibu, ia juga bagus untuk kaum lelaki belajar serta mengikuti cara Marie Kondo.

Artikel Lain Untuk Di Baca