4 Perkara Ini Jadi Bualan Ramai Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan

Pejam celik, pejam celik, kita sudah pun memasuki fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sepanjang tempoh tersebut, ada sahaja telatah mencuit hati yang dikongsikan di media sosial. Kami kongsikan empat perkara bualan ramai menerusi artikel ini:

1. Kenalan baharu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

Sumber: Twitter

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menerima pengiktirafan sebagai salah satu daripada tiga doktor terbaik dunia dalam menangani krisis COVID-19.

Beliau menerima kejutan manis apabila ‘disunting’ menjadi kenalan oleh seorang peminat cilik. Menerusi suratnya kepada Dr. Noor Hisham, Lara Khadijah McAfee berkata bahawa dia membuat seutas gelang untuk rakan-rakannya sebagai simbol persahabatan mereka.

Atas sebab itu, Lara membuat satu gelang getah berwarna biru dan putih untuk Dr. Noor Hisham sebagai tanda penghargaan atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan terhadap rakyat Malaysia.

Tersentuh dengan keikhlasan Lara, Dr. Noor Hisham membalas surat berkenaan dengan mengucapkan terima kasih atas kiriman gelang tersebut.

Menurut Dr. Noor Hisham, “Saya tidak melakukannya secara berseorangan. Saya beruntung kerana mempunyai sebuah pasukan yang hebat untuk membantu negara kita.

Rakyat Malaysia seperti kamu memainkan peranan yang luar biasa dengan kekal berada di rumah. Teruskan berbuat demikian dan kita boleh memerangi wabak ini bersama-sama.

Bencana yang menimpa negara ini tidak akan kekal lama dan saya berharap kamu tidak terlalu risau. Insya-Allah, ia akan berakhir dalam masa terdekat. Saya harap kamu akan belajar bersungguh-sungguh supaya satu hari nanti kamu pula yang akan tampil membantu Malaysia.”

2. Kaum Adam pakai baju kelawar di rumah

Sumber: Twitter

Seorang pengguna Twitter bernama Intan Ezra Syahirah telah memuat naik sekeping foto yang memaparkan bapa dan dua adik lelakinya menggayakan baju kelawar ibu mereka.

“Sebenarnya, ayah dan adik selalu pakai baju kelawar ibu sejak sebelum COVID-19 lagi. Adik lelaki yang bongsu sahaja baru pakai sejak COVID-19 ini,” katanya ketika dihubungi mStar.

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberi komen tentang perkara ini ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi.

Beliau menganggap bahawa ia bukan satu kejadian pelik atau ‘buang tabiat’ apabila ada suami yang mula memakai baju kelawar isteri ketika PKP dilaksanakan.

3. Rakyat Thailand membandingkan reaksi ucapan perdana menteri

Image may contain: 1 person
Sumber: Facebook

Seorang warganegara Thailand bernama Volt Narawat Wangapakul memuat naik dua tangkap layar yang membandingkan reaksi kepada ucapan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha dan Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman Facebook.

“Apabila Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Malaysia berucap, cuba anda lihat situasi dan penilaian daripada rakyat negara itu sendiri. Kita mahukan perdana menteri yang bagaimana sebagai pemimpin negara?” ujar Volt menerusi ruangan kapsyen.

Prayuth difahamkan tidak tegas setiap kali membuat ucapan mengenai rakyat Thailand yang tidak mematuhi perintah berkurung. Kerajaan Thailand turut dilaporkan tidak mengenakan peraturan atau sekatan yang lebih ketat untuk membendung penularan COVID-19 di negara tersebut.

Sebagai perbandingan, Perdana Menteri Malaysia pula mengambil langkah untuk melanjutkan lagi tempoh PKP sehingga 12 Mei yang menandakan kerajaan sangat komited dengan kesihatan rakyatnya.

4. Gubahan lagu daripada ucapan perdana menteri

Lagu remix ayat “ke sana ke sini” yang diambil daripada salah satu perutusan Muhyiddin Yassin ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini ternyata mencuri perhatian ramai orang termasuk perdana menteri sendiri.

Sebagai peringatan, rakyat Malaysia diminta untuk mematuhi arahan kerajaan sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan kerana kesihatan anda dan orang sekeliling perlu menjadi keutamaan sepanjang masa.

Penulis

  • Asmaidatullisa Md Misdar adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan perkara tular sepanjang PKP, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca