Kita sering kali mendengar bahawa hidup mereka yang melakukan jenayah bunuh tidak akan tenang. Malah, terdapat banyak filem seram yang dikaitkan dengan kisah roh yang berdendam dengan pelakunya dan bertindak menganggu mereka.
Kisah-kisah berkaitan roh mengganggu pembunuhnya yang diterbitkan menjadi filem mungkin cuma kisah dongeng semata-mata. Namun begitu, ia dikatakan benar-benar berlaku kepada 4 pembunuh ini sehingga perkara tersebut telah memaksa mereka untuk membuat pengakuan bersalah kepada polis kerana tidak tahan diganggu.
1. John Nkuna
Pada tahun 2002, John Nkuna telah melakukan satu jenayah culik bersama dua orang rakannya. Mereka telah menculik seorang lelaki bernama Bob Ruel Baloyi di Afrika Selatan. Baloyi bukan sahaja dipukul oleh mereka malah juga disiram dengan petrol sebelum dibakar dengan kejam sekali.
Mangsa yang terbakar teruk mati di tempat kejadian. Seorang pengembala kambing telah menemui mayat mangsa yang malang itu dan bertindak menghubungi pihak polis. Nkuna telah melarikan diri dari tempat kejadian. Walaupun dia berjaya menyembunyikan diri daripada pihak polis, hidupnya tidak tenang sebaik sahaja dia melakukan jenayah yang tidak berhati perut itu. Hidupnya dipercayai sering dihantui roh Baloyi dalam keadaan yang sangat menyeramkan.
Menurut Nkuna, suara Baloyi sering menghantui hidupnya. Setiap malam, suara tersebut akan muncul dan berkata, “Beritahu kepada keluargaku bahawa kaulah pembunuhku, maka kau akan dapat tidur dengan tenang. Jika tidak, aku akan terus menghantui hidupmu.”
Nkuna mengambil keputusan untuk mengakui perbuatannya itu kepada keluarga Baloyi. Selepas pengakuannya itu, Nkuna dan rakannya yang lain yang turut terlibat dalam kes pembunuhan ini ditangkap oleh pihak polis. Hukuman penjara 15 tahun telah dijatuhkan kepada Nkuna apabila dia terbukti bersalah dalam kes ini.
2. Daniel French
Pada tahun 2012, Daniel French telah melakukan satu rompakan kerana dia ingin mendapatkan wang dengan cara yang mudah. Rumah milik seorang wanita tua iaitu Barbara Howe telah dirompak oleh French. Semasa kejadian, French telah menghala sepucuk pistol ke leher wanita yang berusia 87 tahun itu. Wanita tersebut bertindak menepis pistol itu dan French kemudiannya mencekiknya sehingga mati.
Setelah itu, French menggeledah rumah tersebut dan berjaya menemui sebentuk cincin berlian milik wanita itu. Dia kemudian melarikan diri dan pihak polis gagal untuk menyelesaikan kes ini selama dua tahun.
Namun begitu, pihak polis telah menemui bukti yang menunjukkan bahawa French adalah dalang di sebalik kes ini. French mengaku bersalah semasa polis memberkasnya. Menurut French, dia telah diganggu oleh roh Howe pada setiap malam. Hidupnya langsung tidak tenteram dan sentiasa berada dalam ketakutan.
3. Mark Bridger
Mark Bridger telah merogol dan membunuh seorang gadis kecil berusia 5 tahun bernama April Jones. Kedua-dua ibu bapa Jones telah membuat laporan polis kerana khuatir akan anak mereka yang tidak pulang-pulang. Pihak polis telah menyiasat kes ini dan Bridger telah ditangkap kerana dia dipercayai ada kaitan dengan kes ini.
Bridger mengaku tidak bersalah dan mengatakan bahawa dia melanggar Jones secara tidak sengaja kerana sedang mabuk ketika itu. Namun begitu, seorang ahli forensik yang memeriksa tubuh mangsa telah menemukan darah pada kemaluannya.
Penemuan ini telah membuktikan bahawa Bridger telah merogol mangsa dan dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Walaupun sudah dipenjara, hidup penjenayah ini masih tidak tenang. Menurutnya, gadis malang itu sering muncul pada waktu malam dan menghantui hidupnya.
4. Ah Fong
Pada tahun 1999, satu kumpulan gengster telah menangkap Fan Man Yee yang dipercayai berhutang jutaan ringgit dengan mereka. Mereka telah menyeksa mangsa selama sebulan sehinggalah mangsa meninggal dunia. Tidak cukup dengan itu, tubuh mangsa telah dikerat-dikerat dan dibuang ke dalam tong sampah.
Seorang daripada mereka mempunyai teman wanita yang bernama Ah Fong di mana dia turut serta menyeksa Fan dan mengakui perbuatannya itu kepada pihak polis. Menurut Ah Fong, dia sering diganggu hantu Fan pada setiap malam. Pada mulanya, pihak polis menyangka itu adalah rekaan semata-mata.
Namun begitu, setelah pihak polis pergi ke tempat pembunuhan seperti yang diberitahu oleh Ah Fong, bahagian tubuh lelaki tersebut ditemui di situ. Kumpulan gengster tersebut akhirnya ditangkap oleh pihak polis dan dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
Jadi, betullah apa yang diperkatakan selama ini. Apabila kita berbuat jahat kepada orang, nescaya hidup kita tidak akan tenang.