Pekerjaan sebagai seorang pelakon itu tidaklah semudah seperti mana yang disangkakan. Untuk menjadi seorang pelakon yang hebat, ia memerlukan dedikasi yang tinggi. Mereka berkorban masa, wang dan tenaga untuk menghayati setiap watak yang diberikan.
Ramai yang beranggapan kehidupan bintang-bintang filem sangat menyeronokkan. Mereka kaya, hidup dalam kemewahan dan sering melancong ke seluruh dunia. Cara bagaimana para pelakon memiliki kekayaan mereka ini juga seakan-akan begitu mudah sekali. Mereka hanya perlu muncul di layar perak dan menerima wang dalam jumlah yang besar.
Tetapi, kita tidak tahu kesusahan yang mereka lalui bagi menjiwai sesuatu watak yang diberikan. Walau bagaimanapun, di bawah merupakan senarai pelakon yang sanggup melakukan perkara ekstrem bagi menjiwai watak mereka.
1. Forest Whitaker – The Last King of Scotland (2006)
Forest Whitaker telah mengagumkan ramai pihak setelah melakonkan watak Idi Amin iaitu diktator Uganda dalam filem The Last King of Scotland. Untuk menjiwai watak itu, dia telah mempelajari bahasa Swahili dan sejarah negara itu berbulan-bulan sebelum pergi ke Uganda.
Dia melakukan persiapan awal itu untuk mendapatkan kerjasama yang lebih baik dengan pelakon-pelakon Uganda di set penggambaran. Selain itu, Whitaker juga telah menaikkan berat badannya sebanyak 22.6kg supaya dia kelihatan lebih sama dengan diktator terkenal itu.
2. Christian Bale – The Machinist (2004)
Dalam filem psikologi seram The Machinist, Christian Bale diberi peluang untuk melakonkan watak seorang pekerja kilang yang menghidap penyakit insomnia. Untuk menjiwai watak yang dilakonkannya itu, Bale telah menurunkan berat badannya sebanyak 29kg.
Bale memberitahu The Guardian, proses menurunkan berat badan itu bukanlah yang paling sukar dihadapinya tetapi terdapat kesan yang berlaku terhadap fizikal dan emosinya.
Oleh kerana tubuhnya yang terlalu kurus ketika itu, dia sukar untuk melakukan kebanyakan kerja fizikal yang mudah termasuklah menaiki tangga. Ketika Bale cuba untuk menghayati watak itu, dia hanya tidur selama dua jam sahaja dan membaca buku selama lebih 10 jam tanpa henti setiap hari.
3. Heath Ledger – The Dark Knight (2008)
Lakonan mendiang Heath Ledger dalam filem The Dark Knight telah membuatkan bulu roma para penonton meremang kerana keberkesanannya. Untuk menghayati watak Joker iaitu musuh kepada Batman, Ledger telah mengurung dirinya dalam bilik hotel selama enam minggu sebelum penggambaran bermula.
Pengasingan diri itu berjaya apabila watak Joker lebih menonjol berbanding Batman lakonan Christian Bale. Namun, orang ramai percaya persediaan yang dilakukannya untuk watak itu telah memberi kesan yang mendalam terhadap kesihatan mental pelakon itu.
Heath Ledger kemudian ditemui mati kerana terlebih dos ubat-ubatan priskripsi pada Januari 2008, beberapa bulan sebelum filem lakonannya itu ditayangkan. Akan tetapi, lakonan Joker itu membuatkan mendiang Heath Ledger berjaya memenangi Anugerah Oscar walaupun selepas kematiannya.
4. Jared Leto – Chapter 27 (2007)
Dalam filem Chapter 27 arahan Jarrett Schaefer, Jared Leto telah melakonkan watak Mark David Chapman. Chapman adalah lelaki yang bertanggungjawab membunuh penyanyi pop terkenal dunia, John Lennon dari kumpulan The Beatles.
Untuk menjiwai watak Chapman, Jared Leto telah menaikkan berat badannya sebanyak 31kg. Para pengkritik filem juga memuji usaha yang dilakukan penyanyi itu kerana kelihatan sangat berbeza dengan personalitinya sebelum ini.
Walaupun perubahan itu bagus untuk watak dan filem lakonannya, tetapi Jared Leto terpaksa menghadapi beberapa masalah lain. Antaranya ialah dia telah menghidap gout kerana kenaikan berat badan itu dan terpaksa menggunakan kerusi roda di set penggambaran untuk merehatkan kakinya yang sakit.
Itulah perkara ekstrem yang dilakukan oleh pelakon antarabangsa untuk menghasilkan kualiti cerita yang bagus. Namun begitu, pelakon Malaysia tidak kurang hebatnya dalam menjiwai watak yang diberikan. Seperti, Umie Aida yang sanggup tidur dengan seekor ular selama dua bulan semata-mata untuk menjiwai watak Diana Dahlan dalam filem Dukun.
Seterusnya, pelakon Shaheizy Sam apabila tampil dengan imej kurus semata-mata mahu menjayakan watak penghidap kanser kronik bernama Naufal. Ketika itu, beratnya susut dengan mendadak. Jika sebelum ini dia memiliki dengan berat 65kg, namun berat Sam turun sehingga 56kg hanya mengamalkan diet sup sayur dan latihan kardio setiap hari.