4 Pedang Legenda, Salah Satunya Milik Pemimpin Agung Dunia

Pada zaman dahulu, pedang merupakan senjata para pahlawan bagi menumpaskan musuh-musuh di medan perang, mempertahankan atau menjarah kerajaan.

Selain meneguk darah dan memakan nyawa manusia, sesetengah pedang turut menyimpan kisah sejarah yang panjang. Selain itu, pedang turut dijulang dalam sejarah dan sastera sebagai simbol status, kuasa dan kekuatan.

Berikut empat pedang perkasa yang terkenal dalam legenda dunia dan masih menjadi misteri sehingga kini:

1. Zulfiqar/ Dhu al- Faqar

Pedang bilah bermata dua ini merupakan pedang milik Nabi Muhammad SAW. Kemudian Baginda menyerahkannya kepada Sayidina Ali Abi Talib.

Selain Zulfiqar, terdapat lapan lagi pedang peninggalan Rasulullah yang tersimpan di muzium-muzium di Turki dan Mesir yang pasti membuatkan kita berasa sayu kerana teringat pada jihad dan perjuangan Rasulullah SAW.

Berdasarkan pembacaan dan pencarian penulis, ada pihak yang mendakwa pedang ini sukar ditemui sehingga kini. Ada juga yang berteori bahawa pedang ini disimpan untuk Imam Mahdi. Walau bagaimanapun, kesahihannya masih boleh dibawa berbincang kepada pihak yang lebih pakar.

Sejauh mana kebenarannya, Tuhan saja yang tahu. Apa yang pasti, pedang ini amat terkenal dalam sejarah Islam dan orang Barat turut mengangkatnya sebagai salah sebuah pedang paling legend di dunia.

2. Excalibur

Pedang ini didakwa milik Raja Arthur, seorang raja legenda Britain zaman dulu. Sekiranya anda pernah menonton siri drama fantasi ‘Merlin’, anda pasti biasa dengar nama Putera Arthur dan tukang sihirnya, Merlin.

Pada tahun 1485, seorang penulis bernama Thomas Malory telah menerbitkan karyanya yang terkenal iaitu Le Morte D’Arthur. Ia mengisahkan tentang Raja Arthur dan pedang epiknya, Excalibur.

Diceritakan raja tersebut mencabut pedang tersebut dari batu. Semasa cedera parah dalam pertempuran, sang raja mengarahkan seorang pahlawannya yang setia supaya pulangkan semula pedang itu ke sebuah tasik.

3. Pedang Tujuh Cabang (Seven Branched Sword)

Pedang ini mempunyai kaitan dengan sejarah negara-negara Asia Timur pada suatu ketika dahulu.

Terdapat banyak versi cerita asal usul pedang ini dan antaranya adalah pedang bermata tujuh ini dikatakan berasal dari Korea.

Terdapat tulisan terukir di pedang ini yang menceritakan tentang dinasti, raja-raja dan kerajaan purba yang terletak di Korea pada zaman dahulu.

Apa yang menarik, pedang ini dipercayai diperbuat daripada baja yang ditempa sebanyak 100 kali. Kini, senjata unik itu disimpan dalam Kuil Isonokami di Jepun dan tidak dipamerkan kepada umum.

4. Pedang Sumpahan Muramasa

Pedang samurai ‘Muramasa Sengo’ ini merupakan salah satu senjata terhebat semasa zaman purba Jepun dulu. Kekuatan dan ketajaman bilahnya dikagumi oleh seluruh empayar.

Akhirnya pedang ini diharamkan mengikut perintah pihak istana sebab ia terlalu berbahaya. Legenda popular mengatakan pedang ini hauskan darah, tidak hanya menagih roh musuh tetapi turut menyumpah si pemiliknya.

Walaupun kini disimpan rapi daripada pemerhatian umum, ia sering muncul dalam budaya pop Jepun (contohnya anime) kerana ketajamannya dipaparkan sebagai simbol kemahiran orang Jepun dalam skil membuat pedang.

Untuk baca lagi artikel berkaitan, klik pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca