Empat orang lelaki warga Myanmar telah ditahan pihak berkuasa sewaktu sedang asyik melihat pertarungan sabung ayam di kawasan lapang di belakang Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar pada lewat petang Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar iaitu Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, kesemua lelaki itu ditahan oleh sepasukan anggotanya yang melakukan rondaan Op COVID-19 di kawasan berkenaan.

Kata Mohd Rozi, suspek yang berusia antara 24 sehingga 43 tahun itu sedang leka melihat sabung ayam terbabit berlawan semasa dihampiri pasukan polis.
Hasil siasatan mendapati bahawa keempat-empat warga Myanmar itu tahu tentang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan namun memilih untuk tidak mengendahkannya.
“Semua suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk siasatan lanjut dan dua ekor ayam jantan turut dibawa ke IPD yang sama,” katanya seperti yang dilaporkan Astro Awani.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana berkumpul menyebabkan merebaknya penyakit berjangkit dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPPB (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020.
Seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar mematuhi perintah kerajaan untuk duduk di rumah dalam mengekang penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah: