Pasport merupakan kunci kepada pintu yang membolehkan seseorang mengembara ke seluruh dunia (tertakluk kepada kuasa pasport kewarganegaraan seseorang). Walau bagaimanapun, tahukah anda, evolusi pasport bukanlah sesuatu yang mudah?
Sebenarnya, pasport yang kita kenal pada hari ini agak baru diperkenalkan walaupun sejarah awal dokumen pengenalan diri mirip pasport telah dapat dikesan sejak tahun 450 sebelum masihi lagi. Pada gurun ke-15, Raja Henry ke-5 mula memperkenalkan dokumen perjalanan kepada rakyatnya.
Di sini kami kongsikan beberapa fakta menarik mengenai pasport. Antaranya adalah:
1. Pasport Mumia
Semasa zaman Mesir Purba, tiada rekod yang diketahui atau ditemui berkaitan sebarang dokumen perjalanan. Namun pada tahun 1974, mumia Ramses ke-2 (yang telah mati pada tahun 1213 sebelum masihi) terpaksa diterbangkan ke Paris untuk kerja-kerja pemulihan.
Mumia itu diberikan sebuah pasport Mesir yang sah termasuklah sekeping gambar pasport yang memaparkan wajah firaun yang diawetkan itu. Pekerjaannya disenaraikan sebagai “Raja (mangkat).”
2. Pasport Diraja
Sekiranya pasport telah diperkenalkan pada zaman Ramses ke-2, dia mungkin tidak memerlukan sebarang dokumen perjalanan. Ini disebabkan kebanyakan raja dan permaisuri yang masih hidup tidak memerlukan pasport. Laman web rasmi keluarga diraja British menjelaskan “setiap pasport British dikeluarkan atas nama Baginda Tuanku Permaisuri, maka Ratu Elizabeth tidak perlu memilikinya.”
Begitu juga di Jepun, kerajaan memutuskan bahawa ia adalah “tidak sesuai” untuk mengeluarkan pasport negara tersebut kepada Maharaja Jepun. Ini disebabkan ia mempunyai cop mohor diraja dengan lambang bunga kekwa yang dipanggil “kikumon” dan mengandungi klausa berbunyi “menteri luar negeri memohon supaya pemegang pasport ini dibiarkan berjalan tanpa kesulitan.”
Adapun begitu, apabila Maharaja Akihito turun takhta pada bulan April 2019, beliau akhirnya akan mempunyai pasport antarabangsa seperti keluarga diraja yang lain.
3. Pasport Haiwan Peliharaan
Anda mesti tidak menyangka, sebenarnya pasport antarabangsa bagi haiwan juga adalah suatu perkara yang biasa. Haiwan peliharaan di Amerika Syarikat, misalnya dengan mudah boleh mendapatkan kelulusan perjalanan untuk melepasi sempadan. Namun, bagi haiwan peliharaan di negara-negara Kesatuan Eropah, mereka boleh memiliki sendiri ‘buku biru’ yang lengkap dengan gambar pasport.
Negara Kesatuan Eropah membenarkan perjalanan haiwan-haiwan peliharaan tanpa kuarantin antara negara anggota. Peraturan ini amat disukai ramai sehinggakan ratusan anjing (berserta tuan mereka) mengadakan satu protes di London pada bulan Oktober 2018 yang dipanggil “wooferendum” untuk membantah Brexit yang mengancam kedudukan istimewa ini.
4. Pasport Menaiki Pesawat Negeri
Di Amerika Syarikat, sesetengah pengembara juga bakal memiliki pasport walaupun tidak pernah meninggalkan negara itu. Akta “Real ID” 2005 menghendaki setiap pengenalan diri mengikut negeri perlu mematuhi keperluan keselamatan yang telah diperketatkan sekiranya pemegang dibenarkan menaiki penerbangan domestik.
Kebanyakan jabatan negeri telah memenuhi peraturan ini, namun masih ada beberapa negeri yang meminta lanjutan tempoh. California dan Massachusetts misalnya diberikan masa sehingga 10 Januari 2019 untuk mengeluarkan kad pengenalan baru. Jika mereka gagal, penduduk negeri itu perlu mempunyai pasport untuk menaiki kapal terbang walaupun untuk penerbangan domestik.
Jadi, apa pendapat anda mengenai pasport-pasport yang pelik ini, menakjubkan bukan?