4 Jenis Kopi Termahal Di Dunia Yang Dihasilkan Daripada Najis Dan Air Liur Haiwan

Kita sering dengar tentang kopi yang termahal di dunia adalah kopi yang terhasil daripada najis haiwan. Haiwan-haiwan liar ini telah diberi makan biji kopi secara berterusan dan hasil daripada pencernaan buah kopi tersebut diambil dan diproses seperti biji kopi biasa untuk dijual dan dihidangkan kepada pencinta kopi eksotik.

Kopi Luwak (perkataan dari bahasa Indonesia) adalah kopi yang menggunakan najis seekor luwak atau musang kelapa dan merupakan salah satu kopi yang popular dalam kalangan peminat tegar kopi.

Tetapi, tahukah anda terdapat najis haiwan selain luwak yang menggunakan kaedah yang sama untuk menghasilkan kopi yang berkualiti tinggi dan jarang didapati? Di sini kami kongsikan 4 jenis kopi termahal di dunia yang dihasilkan daripada najis dan air liur haiwan:

1. Kopi daripada najis gajah

Dikenali sebagai Black Ivory, kopi ini pada asalnya pengeluar membuat penyelidikan terhadap seekor gajah jika haiwan ini juga berupaya menghasilkan biji kopi seperti kopi Luwak. Gajah-gajah ini berasal dari Ban Taklang, Surin , Thailand dan pemprosesan biji kopi ini dibuat di sebuah syarikat yang bernama Black Ivory Coffee Ltd.

Gajah ini dijaga dengan rapi di tempat khas dan diberi makan biji kopi berserta makanan sampingan seperti nasi dan pisang untuk mengekalkan diet seimbang. Terdapat biji kopi yang tidak dicerna di dalam najis yang dihasilkan gajah berkenaan. Biji kopi tersebut kemudiannya dibasuh dan dikeringkan sehingga biji kopi bertukar warna kelabu.

Kopi Black Ivory ini merupakan biji kopi yang jarang dan susah untuk didapati kerana ia memerlukan masa pemprosesan yang sangat lama. Harga penjualan kopi ini hampir mencecah $900 (RM3,650) untuk 1 paun.

2. Kopi daripada air liur monyet

Ramai orang salah anggap bahawa biji kopi yang dihasilkan datang daripada najis seekor monyet. Biji kopi yang dihasilkan oleh monyet ini bukanlah daripada najisnya tetapi daripada air liurnya. Monyet Macaca Rhesus yang berasal dari negara India, sesuai dengan habitatnya di hutan hanya memakan buah kopi yang terbaik.

Ia akan mengunyah kulit buah kopi dan ludahkan biji kopi yang telah dirembes bersama air liurnya. Dipercayai enzim yang berada dalam air liur si monyet ini telah mengubah rasa biji kopi itu sendiri. Biji kopi ini telah terjual dengan harga $320 (RM1,297) untuk 1 paun.

3. Kopi daripada air liur kelawar

Kelawar Artibeus Jamaicensis bertindak memakan biji kopi yang sangat manis tanpa memetiknya dari dahan. Kelawar ini hanya mengambil kemanisan buahnya sahaja dan meninggalkan kesan gigitan dan air liurnya. Biji kopi tersebut dikeringkan secara semula jadi dari dahannya dan menjalani proses penapaian.

Kopi ini dipercayai mempunyai rasa manis buah dan sedikit sentuhan asid yang pastinya memikat hati pencinta kopi. Biji kopi eksklusif ini dijual dengan harga $230 (RM932) untuk 1 paun.

4. Kopi daripada najis burung

Burung Jacu merupakan burung asli di negara Brazil. Kewujudan kopi burung Jacu ini adalah berpunca dari ladang kopi milik seorang warga Brazil, Henrique Sloper yang diserang oleh sekumpulan burung Jacu dan buah kopinya dimakan oleh burung tersebut.

Henrique tidak mahu mencederakan haiwan ini lalu dia mendapat inspirasi daripada kopi Luwak untuk menghasilkan biji kopi daripada najis burung ini kerana mereka hanya memakan buah kopi yang terbaik sahaja.

Tentu sahaja serangan burung Jacu ini telah mendatangkan keuntungan besar kepada Henrique kerana telah menghasilkan biji kopi yang penuh sensasi daripada najis burung itu sendiri. Biji kopi ini terjual dengan harga $330 (RM1,338) untuk 1 paun.

Kopi yang terhasil daripada najis haiwan mungkin kedengaran ganjil dan pelik bagi kita apatah lagi ia dijual dengan harga yang sangat mahal. Namun begitu, bagi pencinta kopi, mereka lebih tertarik untuk mendapatkan kopi yang berkualiti tinggi kerana ia menepati kepuasan mereka.

Penulis

  • Nurulnasuha Binti Sanusi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca