Penulis: Zafirah Zapri
Setiap orang memiliki minat, bakat dan impian. Impian dikatakan penting kerana itulah yang menjadikan kita hidup. Ada yang mengimpikan untuk menjadi jutawan, sasterawan atau pun angkasawan. Namun begitu, menggapai impian tidak semudah memesan roti canai di restoran mamak. Membeli teh ais bungkus ikat tepi pun perlukan usaha, inikan pula mengejar impian yang penuh dengan onak dan duri.
Kadang-kadang, kita terpaksa menyimpan impian kita dalam peti simpanan atau melupakannya terus kerana terdapat faktor yang berada di luar kawalan seperti realiti hidup, kegawatan ekonomi dan persekitaran sosial yang menekan. Hidup ini penuh dengan risiko.
Namun ada satu lagi faktor terbesar yang menyekat impian daripada menjadi kenyataan iaitu diri kita sendiri. Sebab kita takut. Takut macam mana tu?
Berikut kami jelaskan:
1. Takut gagal
Tiada siapa yang mampu kebal daripada perasaan takut gagal. Dari sudut positif, takut gagal membuatkan kita lebih bersedia dan berusaha. Tapi kalau terlalu takut, kita akan jadi kaku terpaku dan tidak mampu berbuat apa-apa. Kita tidak mahu bekerja keras kerana takut gagal dan pekerjaan itu menjadi sia-sia saja.
Tapi kalau tak cuba usaha, macam mana nak tahu?
Kalau gagal sekalipun sekurang-kurangnya kita dapat pengajaran, pengalaman dan mungkin sesuatu yang lebih baik. Manusia mungkin hanya berminat untuk memandang kejayaan kita, hanya Tuhan yang memandang usaha dan kesakitan kita. Kegagalan yang sebenarnya adalah kegagalan untuk mencuba.
2. Takut untuk melepaskan
Kita takut untuk berpindah ke tempat baru, takut orang tersayang meninggalkan kita dan takut semuanya tidak sama lagi seperti dahulu. Dulu kita pernah kecewa. Dulu kita pernah hebat. Kita biarkan diri untuk terus hidup dalam kenangan atau masa silam sehingga terlupa untuk hidup pada masa sekarang. Susah untuk move on.
Kadang-kadang kita perlukan sedas dua penampar atau tumbukan padu supaya tersedar dan balik ke zaman sekarang. Boleh cuba Muay Thai. Penulis gurau je, jangan buat betul-betul ya?
3. Takut dengan perubahan
Perubahan kelihatan menakutkan mungkin kerana kita sudah selesa dengan cara kita yang mungkin sudah lapuk pada zaman sekarang. Kadang-kadang perubahan menimbulkan sesuatu yang tidak pasti dan tidak menentu.
Jadi kita tidak mahu mengambil risiko dan mahu terus berada dalam zon selesa atau situasi yang sama; tanpa pembaharuan, pergerakan dan peningkatan dalam hidup. Pada masa yang sama, kita berasa iri hati dengan orang lain yang sanggup berubah dan kehidupan mereka menjadi lebih baik. Kita terus selesa dalam buih-buih ciptaan sendiri sehinggalah comfort zone ini bertukar menjadi death zone.
4. Takut hidup tak sama macam orang lain dan tak ikut expectation masyarakat
Hal ini biasanya timbul apabila kita cuba mencari penghormatan dan penerimaan daripada masyarakat tentang cara hidup kita supaya berasa diri ini begitu berharga dan terus dihormati. Kita mungkin telah diprogramkan menjadi ‘normal’ seperti kehendak sosial tanpa menyedari bahawa impian setiap orang tidak sama dan masing-masing ada keunikan yang tersendiri.
Kita mahu kelihatan berjaya pada pandangan masyarakat yang rata-ratanya menilai kita dari segi kemajuan material. Kita dianggap berjaya jika ada banyak duit. Bila berjaya, dijulang. Bila gagal, jatuh gedebuk sendiri.
Kita berasa tertekan jika tidak mencapai standard itu sehingga lupa bertanya pada diri sendiri, adakah ini apa yang kita benar-benar mahukan atau sekadar hidup dalam dunia orang lain dan menjadi klon?
Tanpa duit berjuta, pengiktirafan atau gaya hidup mewah pun diri kita tetap bernilai. Asalkan kita tahu menghargai diri sendiri. Itulah apa yang orang panggil harga diri.
Oleh itu, marilah kita sama-sama cuba untuk tidak hidup dalam ketakutan sebaliknya mengamalkan cara hidup yang buat kita bahagia dan positif. Penulis teringat kata-kata ini,
“Jika kita mahukan sesuatu dan sanggup bekerja keras, seluruh alam semesta akan turut berkonspirasi.”