4 Bahan Semula Jadi Ini Boleh Hilangkan Kelemumur

*Gambar di atas hanya sekadar hiasan. Sumber: Be Beautiful

Walaupun tidak mendatangkan kesakitan kepada seseorang individu, kelemumur boleh menyebabkan mereka rasa rendah diri dan sukar untuk bersosial dengan orang lain. 

Kelemumur ini berlaku apabila kulit kepala terlalu kering atau berminyak sehingga ia menghasilkan banyak kulit mati. Kami akan kongsikan empat bahan semula jadi yang boleh hilangkan kelemumur menerusi artikel ini:

1. Lidah buaya

Seperti yang kita sedia maklum, gel lidah buaya atau aloe vera ini memang terkenal dengan ciri-ciri pelembab dan antikulat serta antibakteria yang menakjubkan. Ia juga memberikan rasa dingin dan dapat menghilangkan kegatalan apabila disapu pada kepala.

Anda boleh menyapu atau lumurkan lendir daun lidah buaya pada kawasan yang berkelemumur ini dan biarkan selama 30 minit sebelum dibilas dengan air. Sebagai peringatan, petua ini perlu diamalkan secara konsisten.

2. Cuka epal

Sumber: CNA

Cuka epal mempunyai sifat antibakteria dan antikulat yang boleh membunuh yis penyebab kelemumur. Selain itu, cuka epal ini juga mampu mengecutkan liang roma dan menyingkirkan lebihan sebum pada kulit.

Anda perlu campur cuka dengan air pada nisbah 50:50 sebelum dilumurkan pada kulit kepala. Sekiranya kulit anda sensitif, boleh mulakan dengan sedikit sahaja cuka dan biarkan selama 15 minit. Akhir sekali, bilas kepala anda dengan air.

3. Limau nipis

Vitamin C dalam limau nipis akan menggalakkan pertumbuhan akar rambut dan buat ia lebih tebal bagi mengatasi kebotakan. Namun, apa yang paling menarik ialah limau nipis ini juga boleh hilangkan kelemumur pada kulit kepala.

Anda boleh perahkan jus limau nipis dan campurkan dengan air. Selepas itu, sapukan pada rambut dan biarkan buat sementara waktu. Akhir sekali, bilas kepala anda dengan air.

4. Minyak kelapa

Minyak kelapa ini boleh menghapuskan apa sahaja reaksi kulat yang ada pada kulit kepala. Selain itu, ia turut memberikan kelembapan pada kulit kepala kerana mempunyai ciri-ciri anti-kulat.

Anda perlu menyapu tiga hingga lima sudu makan minyak kelapa pada kulit kepala dan biarkan sekurang-kurangnya satu jam sebelum mencuci dengan syampu. Sebagai alternatif, anda boleh menggunakan syampu yang sudah diformulasi dengan ekstrak minyak kelapa.

Penulis:

  • Nur Shuhada Khaizar adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca