35 Tahun Menanti, Che Nah Sujud Syukur Terima Lesen Perniagaan

Penantian seorang peniaga iaitu Minah Awang selama 35 tahun untuk berniaga secara sah akhirnya berbaloi apabila dia menerima lesen perniagaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Lesen Penjaja Beredar itu diserahkan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan iaitu Tan Sri Annuar Musa kepada Minah yang turut dikenali sebagai Che Nah di lokasi dia berniaga di Bukit Damansara.

Terkejut dengan perkhabaran gembira itu, Che Nah terus sujud syukur selepas penantian selama 35 tahun itu menjadi kenyataan. 

“Sejak 35 tahun lalu, saya sering turun naik ke pejabat DBKL untuk memohon lesen penjaja.

“Malah sudah lima orang Datuk Bandar silih berganti, namun alasan yang dinyatakan adalah permohonan lesen tersebut dibekukan,” kata Che Nah.

Meniaga makanan asli Pantai Timur seperti nasi dagang, nasi kerabu, nasi lemak dan aneka kuih-muih, Che Nah menyifatkan pemberian lesen perniagaan itu sebagai hadiah yang sangat berharga.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Annuar kerana mempermudahkan urusan permohonan lesen ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Tan Sri Annuar menyatakan bahawa pihaknya menerusi DBKL akan mempermudahkan segala proses permohonan penjaja bergerak termasuk perniagaan yang diusahakan golongan belia.

“Kita mulakan dengan cara yang baharu. Dalam masa sedikit lagi, saya nak jumpa belia, orang muda termasuk Cina dan India.

“Seperti di Little India di Brickfields, kita benarkan buka kiosk di laluan jalan kaki tapi susun elok-elok.

“Saya nak orang muda yang meniaga, ambil contoh Che Nah, yang sanggup bawa kereta sendiri, masak dan menjual. Kenapa tidak orang lain ambil cabaran ini. Jadikan Kuala Lumpur sebagai tempat cari rezeki,” katanya.

Diharapkan para peniaga di luar sana dipermudahkan usaha mereka untuk memohon lesen perniagaan dan berniaga secara sah. Semoga peniaga-peniaga kecil ini akan terus dimurahkan rezeki.

Untuk baca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca