Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan 315 kes positif COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia bawah 14 tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menjelaskan bahawa itu melibatkan enam peratus daripada jumlah keseluruhan iaitu 5,182 kes positif COVID-19 di Malaysia.
Dr. Noor Hisham berkata menerusi satu sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, “Daripada 315 kes itu, 83 pesakit masing-masing adalah terdiri daripada kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah dan lima hingga sembilan tahun. Selain itu, 149 pesakit pula dalam kalangan kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun.”
Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut berkata kebanyakan daripada kanak-kanak itu positif COVID-19 selepas mendapat jangkitan berkenaan daripada ibu bapa atau ahli keluarga yang dijangkiti wabak meragut nyawa tersebut.
Menurut Dr. Noor Hisham, “Biasanya kanak-kanak ini terkena jangkitan COVID-19 ini bersama keluarga sama ada ibu atau ayah. Kalau mereka terkena sekali jangkitan, kita akan letakkan keluarga itu bersama di dalam wad atau bilik.
“Sekiranya kanak-kanak itu dijangkiti tetapi ibu bapa pula adalah sebaliknya, pasangan yang mahu menjaga anak tersebut perlu menandatangani persetujuan.”
Dr. Noor Hisham berkata, KKM bagaimanapun menggalakkan ibu bapa yang ingin menjaga anak mereka yang positif COVID-19 untuk memakai Pakaian Perlindungan Diri (PPE) sepanjang tempoh penjagaan itu.
Sebagai peringatan, patuhi arahan kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan kerana kesihatan anda dan orang sekeliling perlu menjadi keutamaan sepanjang masa.
Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah: