30 Tahun Mengejar Keadilan, Bapa Ini Rela Masuk Penjara Demi Bela Kematian Anak

Seorang bapa warga Perancis, André Bamberski sanggup meredah lautan api demi anak perempuannya. Jadi, apabila gadis itu tiba-tiba sahaja meninggal dunia atas sebab yang tidak dapat dijelaskan, lelaki ini sanggup hilang kerja dan keluarga untuk memastikan kematian cahaya matanya terbela.

Kehadiran orang ketiga

André Bamberski dan keluarganya tinggal di Morocco pada awal tahun 1970an. Di negara Afrika Utara itulah di mana isteri André, Danièle Gonnin telah menjalankan hubungan sulit dengan seorang pakar perubatan bernama Dieter Krombach. Ketika itu, Dieter merupakan suami orang.

Keluarga Bamberski telah berpindah ke Pechbusque, Perancis beberapa tahun kemudian. Namun begitu, ia tidak menyekat Danièle untuk bermain kayu tga bersama kekasihnya kerana Dieter juga telah mula tinggal di kawasan berdekatan.

Danièle dan Dieter akhirnya menfailkan penceraian terhadap pasangan masing-masing sebelum mereka berkahwin tidak lama selepas itu. Walau bagaimanapun, kedua-dua André dan Danièle masih berkongsi hak penjagaan dua anak mereka iaitu Kalinka dan Nicolas.

Kematian misteri

Pada musim panas tahun 1982, Kalinka Bamberski, 14, telah pergi melawat ibu dan bapa tirinya yang telah menetap di Jerman.

Pada petang 9 Julai 1982, Kalinka dikatakan telah mengadu tidak sihat. Dieter yang merupakan seorang doktor telah menyuntik remaja berkenaan dengan suplemen besi yang sering diberikan kepada pesakit-pesakit lain.

Menurut Dieter, usai memberikan ubat tersebut kepada Kalinka, dia meninggalkan gadis itu keseorangan.

Walau bagaimanapun, Kalinka dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh Dieter keesokan paginya. Remaja berkenaan akhirnya disahkan telah meninggal dunia tidak lama kemudian.

Ujian autopsi mendedahkan punca kematian Kalinka adalah disebabkan tercekik muntah sendiri ketika tidur. Namun begitu, mayat Kalinka juga mendedahkan mangsa seperti dicucuk beberapa kali di bahagian kaki dan tangan. Malah, kemaluan Kalinka juga koyak dan sejenis cecair putih seperti air mani telah ditemui di kakinya.

Walau bagaimanapun, tiada ujian toksikologi dijalankan dan punca sebenar kematian masih tidak dapat dipastikan.

Percanggahan alibi

André Bamberski enggan mempercayai Kalinka mati kerana ajalnya sudah tiba. Lelaki berkenaan amat yakin bahawa Dieter merupakan dalang di sebalik kematian anak gadisnya.

Dek didorong rasa ingin tahu, André telah menggesa kerajaan Jerman untuk mengadakan satu lagi ujian pada tisu badan Kalinka. Hasil siasatan mendapati terdapat keraguan pada alibi yang diberikan Dieter semasa kematian Kalinka.

Menurut Dieter, Kalinka berada dalam keadaan baik semasa Dieter meninggalkannya di dalam bilik usai memberikan ubat. Namun begitu, siasatan lanjut mendapati Kalinka sebenarnya telah mati serta merta selepas suntikan suplemen terbabit diberikan padanya.

Kerajaan Perancis akhirnya mengambil alih kes tersebut. Dengan kebenaran André, kubur Kalinka digali semula dan ujian autopsi sekali lagi dijalankan di negara kelahiran André.

Namun begitu, ahli forensik Perancis gempar apabila mendapati alat sulit Kalinka telah dibuang semasa ujian autopsi pertama.

Dieter Krombach kekal bebas di Jerman

Selepas keputusan autopsi yang dilakukan kerajaan Perancis itu dihebahkan kepada umum, Dieter Krombach telah dituduh mengakibatkan kematian Kalinka Bamberski dan berdepan hukuman penjara 15 tahun.

Namun begitu, kerajaan Jerman enggan memberkas doktor itu dan Dieter bebas melakukan apa sahaja.

André Bamberski yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu telah datang sendiri ke Jerman dan mula menyebarkan surat layang. Isi kandungan berbaur amaran itu bertujuan memberitahu orang ramai tentang pembunuhan yang dilakukan Dieter terhadap Kalinka. Selain itu, ia juga merupakan sebagai salah satu cara bagi André untuk meminta bantuan.

Walau bagaimanapun, Dieter sekali lagi berjaya mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang. Malah, doktor berkenaan telah menfailkan saman terhadap André Bamberski yang dikatakan telah menfitnahnya.

Penculikan Dieter Krombach

Pada tahun 2009, André Bamberski telah mendengar satu khabar angin yang menyatakan Dieter Krombach akan berpindah ke Timur Afrika.

André yang menyedari pemergian Dieter ke Afrika akan menyukarkan lagi siasatannya, telah meminta bantuan orang ramai. Akhirnya, seorang pendatang dari Kosovo bernama Anton Krasniqi menawarkan diri untuk membantu bapa malang tersebut.

Anton Krasniqi telah diarahkan André untuk menculik Dieter dan membawanya ke sempadan Jerman-Perancis. Dieter dilaporkan teruk dibelasah oleh André sebelum mereka berdua diberkas pihak berkuasa.

Misi 30 tahun berakhir

Dieter Krombach akhirnya dibicarakan di mahkamah Perancis pada tahun 2011. Danièle Gonnin yakni ibu kepada Kalinka dan isteri kepada Dieter telah dipanggil ke kandang saksi.

Menurut Danièle, pada malam kematian Kalinka, Dieter berkemungkinan telah memberikan ubat penenang kepadanya mengakibatkan wanita itu tidak menyedari apa-apa.

Lebih mengejutkan, mahkamah telah mendedahkan bahawa Dieter Krombach sebenarnya pernah ditahan polis pada 1997 atas kesalahan merogol seorang remaja berusia 16 tahun yakni pesakit kepada doktor berkenaan. Dieter berjaya mengelakkan hukuman penjara ekoran statusnya yang dipandang tinggi oleh masyarakat.

Selain itu, Dieter juga pernah disyaki telah menyebabkan kematian isteri pertamanya, Monika Hentze. Meskipun punca kematian Monika adalah kerana pendarahan dalam otak, keluarga wanita itu mendakwa Dieter telah membunuh Monika.

Akhirnya, Dieter Krombach dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa sengaja Kalinka Bamberski.

Bagi André Bamberski pula, lelaki itu turut dihukum penjara selama satu tahun ekoran merancang penculikan Dieter.

Menurut André, dia sedikit pun tidak kisah disumbat ke dalam penjara kerana padanya misinya sudah selesai.

“Kalinka, adakah kamu nampak? Ayah sudah berjanji akan memberikan keadilan kepada kamu. Sekarang, kamu boleh berehat dengan tenang,” ujar André.

Sebuah drama Perancis-Jerman bertajuk Au nom de ma fille dihasilkan berdasarkan kes ini.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca