3 Sebab Mengapa Orang Melayu Suka Tengok Cerita Hantu

Beberapa hari yang lepas, trailer Munafik 2 yang berdurasi 2 minit lebih telah dikeluarkan di Twitter oleh @bujibu_chempel. Trailer ini mendapat 30 ribu retweet dan 14 ribu sukaan (setakat 1 Ogos) sekaligus menjadi bualan hangat orang ramai di Twitter yang menyatakan niat mereka untuk menonton filem ini pada 30 Ogos 2018 nanti.

Begitu juga dengan filem Annabelle (2014), yang mendapat perhatian orang ramai di Twitter pada suatu ketika sehingga menyebabkan ia berjaya mendapat kutipan sebanyak RM 17.6 juta di Malaysia. Filem yang mempunyai genre serupa dengan Creepyposta dan Rumah No. 6 itu juga telah mengutip lebih $200 juta di dalam carta box office Amerika Syarikat dan di seluruh dunia.

Namun begitu, bagaimana perkara ini boleh berlaku? Walaupun mungkin ada yang hanya menggunakan bajet yang kecil, tetapi filem bergenre seram mampu untuk menarik minat orang ramai untuk menontonnya terutamanya orang Melayu di Malaysia. Berikut adalah beberapa sebab kenapa orang Melayu suka pada cerita hantu.

  1. Percaya apa yang orang cerita masa kita kecil dulu.

Sebenarnya sejak kecil lagi kita mudah percaya dengan apa yang orang ceritakan kepada kita. Termasuklah cerita hantu; pontianak, toyol, pocong, kesemua cerita-cerita ini sudah masuk ke dalam sel-sel otak yang sedang berhubung pada ketika itu. Ini sekaligus telah membentuk satu imej yang hantu-hantu ini wujud dan secara automatik kita akan jadi ‘takut’ dengan kewujudan mereka. Jadi apabila orang mula bercerita tentang hantu, kita akan mudah memberikan perhatian kepada cerita tersebut.

  1. Jalan cerita yang mudah difahami

Jalan cerita hantu lebih mudah untuk difahami berbanding cerita sci-fi yang mengajak kita untuk berfikir. Cerita tentang sebuah keluarga yang menetap di rumah berhantu lebih mudah difahami berbanding cerita tentang seorang lelaki yang pergi merentas masa untuk berjumpa dengan seorang wanita yang disayanginya, (seperti dalam novel Natalia) ataupun cerita tentang sekumpulan angkasawan pergi ke planet lain mencari rumah baru untuk mereka hidup.

Kenapa sampai perlu pergi merentas ke galaksi lain untuk mencari planet baru? Sedangkan kita boleh tinggal sahaja di sini? Ini kerana orang Melayu lebih suka kepada tontonan santai yang tidak mengajak mereka untuk berfikir panjang tentang kehidupan, cukup sekadar menonton untuk menghiburkan diri mereka.

Jadi, cerita hantu ataupun filem bergenre seram adalah jawapan untuk orang Melayu tonton. Sementara filem sci-fi ataupun genre yang lain tidak diberi lebih perhatian oleh orang Melayu. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Adakah Ini kerana kebanyakan orang Melayu memiliki IQ yang rendah? Ataupun ada sebab yang lain?

3.  Reputasi kebanyakan filem seram

Filem seram memang sentiasa mempunyai reputasi yang baik di Malaysia. Sama ada daripada segi jalan cerita, kutipan jualan tiket mahupun menerusi bualan orang ramai. Cerita hantu memang akan menjadi perhatian masyarakat sejak dari dulu. Menurut statistik kutipan box-office yang diperoleh daripada FINAS, 5 daripada 15 adalah filem bergenre seram.

Jadi apabila filem seram seperti Munafik 2 yang akan keluar tidak lama lagi, pasti ia akan menjadi tumpuan ramai kerana reputasi filem Munafik (2016) sebelum ini. Begitu juga dengan reputasi filem seperti Jangan Pandang Belakang (2006), Hantu Bonceng (2011), Ngangkung (2010), Khurafat (2011) dan Dukun (2018) – sekadar menyebut beberapa filem yang mendapat kutipan tinggi.

Persoalannya, apakah nilai dan manfaat yang kita semua dapat dengan menonton cerita hantu? Adakah semata-mata untuk berasa takut atau ingin belajar sesuatu? Atau sememangnya sekadar untuk tontonan santai semata-mata?

Saya boleh mengulas lebih panjang mengenai topik ini tetapi cukup sekadar menyatakan 3 sebab mengapa orang Melayu begitu suka dengan cerita hantu untuk tontonan di panggung wayang. Apapun, semua ini bergantung kepada seseorang individu itu sendiri. Terpulang kepada mereka untuk menonton cerita yang bagaimana.

Apa pula pandangan anda?

Artikel Lain Untuk Di Baca