3 Pelajar Ini Jatuh Jambatan Ketika Mencari Akses Internet Untuk Kelas Online

Usaha tiga pelajar untuk mencari akses internet bagi mengikuti kelas dalam talian berakhir dengan tragedi apabila mereka terjatuh dari jambatan gantung yang tiba-tiba runtuh di Kampung Gusi, di Ranau, Isnin lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam membabitkan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam telah mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan bahawa seorang pelajar patah kaki dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu.

“Mereka cuba mengakses internet di bahagian tertentu di jambatan gantung berkenaan,” katanya.

Difahamkan kawasan di sekitar jambatan gantung dengan ketinggian kira-kira 18 meter dari aras sungai itu merupakan satu-satunya lokasi yang mempunyai capaian internet di situ.

Sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk kampung, khususnya pelajar berkumpul di kawasan terbabit sekiranya memerlukan capaian internet.

Ketika kejadian, kesemua pelajar terbabit dikatakan berada di tengah-tengah jambatan gantung itu sebelum ia tiba-tiba runtuh.

Dr. Joachim memaklumkan akan segera ke kampung terbabit untuk meninjau keadaan dan mendapatkan peruntukan daripada kerajaan pusat bagi membaiki jambatan itu.

“Kita berharap penduduk kampung berkaitan dapat bersabar kerana kita berusaha menyelesaikan masalah ini” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang,” jelas Dr. Joachim.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca