27 Tahun Pemergiannya, Sudirman Haji Arshad Masih Dirindui

Pada tahun 22 Februari 1992, Datuk Sudirman Haji Arshad meninggal dunia ketika berusia 37 tahun. Walaupun sudah 27 tahun berlalu, namun kehilangan seniman bertubuh kecil itu masih dirasai kerana personaliti menawan yang dimilikinya selain kecintaan pada seni mengatasi kegembiraan diri sendiri.

Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri atau sambutan Hari Kemerdekaan negara, lagu-lagu nyanyian Allahyarham Sudirman akan kerap kedengaran. Lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Tanggal 31 Ogos, Merisik Khabar, Salam Terakhir dan Pelangi Petang antara lagu yang sangat mesra dalam kalangan peminatnya.

Selama lebih sedekad bergelar anak seni, lulusan undang-undang dari Universiti Malaya ini sinonim dengan gelaran penghibur rakyat. Banyak anugerah dirangkul Allahyarham Sudirman sepanjang kerjaya seninya.

Tidak hanya berjaya dalam bidang akademik, Allahyarham Sudirman juga cemerlang dalam gelanggang seni. Sudirman disenangi dan disayangi oleh peminat-peminatnya dari segenap lapisan masyarakat termasuk tokoh-tokoh kenamaan negara.

Bagi Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, beliau menganggap Sudirman bukan sekadar seniman yang biasa tetapi seorang pencetus inspirasi. Sekalipun tidak pernah mengenali Sudirman secara peribadi namun beliau menganggap dedikasi Allahyarham pada industri hiburan cukup luar biasa.

“Tidak ada lagi seniman seperti Sudirman. Ini bukan bermaksud memperkecilkan seniman-seniman yang ada, tetapi Sudirman mewarnakan zamannya. Seorang yang kalau dia biduan biduanita, dia hanya menyanyi tetapi Sudirman lebih dari itu. Dia bergaul dan memberi ilham kepada orang lain,” ujarnya.

Bagi Saodah, beliau tidak mahu legenda seperti Sudirman hilang begitu sahaja. Atas alasan itu, beliau berkongsikan pengalaman persahabatannya dalam buku ‘Sudirman yang Aku Kenali’.

“Sebagai seorang kawan, saya tulis buku tentang dia sebab tidak mahu ia hilang begitu sahaja. Nama Sudirman itu takkan kita nak kenang ketika 22 Februari sahaja,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca