Program latihan industri atau kita sering sebut sebagai internship diwujudkan bagi menyediakan bakal graduan untuk menghadapi dunia pekerjaan. Di samping memberi gambaran realiti tentang alam pekerjaan, ia juga mendedahkan para pelajar kepada teknologi serta pengalaman dan pengetahuan yang tidak boleh dipelajari di dalam kelas.
Malangnya, majoriti pelajar pada masa kini seolah-olah belum bersedia untuk memasuki alam pekerjaan. Tidak keterlaluan jika dikatakan mereka masih ‘tersekat’ di alam universiti. Rata-rata majikan mengatakan bahawa ramai pelajar yang menjalani latihan industri semata-mata untuk lulus bagi membolehkan mereka menamatkan pengajian dan bukannya untuk menimba pengalaman.
Berikut kami kongsikan 20 tips untuk menjalani latihan industri dari sudut pandangan seorang pensyarah iaitu Istajib Mokhtar:
1. Be punctual atau dalam erti kata lain, sentiasa menepati masa. Jangan sesekali berani untuk masuk kerja lewat tanpa sebarang sebab. Kalau ada sebab sekalipun, pastikan anda maklumkan terlebih dahulu kepada penyelia. Mereka juga manusia dan bukannya singa. Jadi, mereka pasti faham sekiranya ada sebab yang tidak dapat anda elakkan sehingga memaksa diri anda untuk masuk kerja lewat. Mat Salih cakap, communication is the key.
2. Pastikan anda memakai pakaian yang sesuai. Rasanya semua pernah dengar tentang tanggapan pertama itu penting. Penampilan luar merupakan perkara yang paling senang kena judge. Sekiranya syarikat tersebut ada menyediakan uniform, sarung sahajalah. Tidak perlu berungut atau membebel dalam hati.
3. Siapkan tugasan ikut ketetapan. Biasalah kalau terasa macam dibuli sedikit. Senang cerita, layankan sahaja segala tugasan yang diberi. Tak perlu merungut atau muat naik status di media sosial, “Asyik kena suruh fotostat je.”
4. Pilih tempat yang sesuai dengan bidang yang anda belajar selama ini. Pastikan tempat yang dipilih itu beri elaun munasabah dan ada potensi untuk diserap bekerja.
5. Siapkan buku log dari masa ke masa. Catatan harian anda amatlah penting. Sekurang-kurangnya anda boleh buat sebagai refleksi harian untuk prestasi yang lebih baik esok hari.
6. Pastikan anda faham apa tugas anda sepanjang tempoh latihan industri. Biasanya pegawai penyelia akan memberikan penerangan tugas dan jadual.
7. Jangan curi tulang walau anda nampak ada staf-staf di sana yang berbuat demikian.
8. Semasa lawatan penilaian pensyarah, pastikan anda memang sudah mahir dengan tugas anda. Jangan sampai gabra tak dapat jawab soalan. Bentangkanlah sebaiknya, jangan malukan jabatan dan syarikat.
9. Selepas penilaian, jangan buat perangai. Mentang-mentang sudah dinilai. Pegawai penyelia boleh saja memohon pihak jabatan mengubah semula markah jika prestasi anda merudum serta-merta selepas penilaian dibuat.
10. Jangan hanya fokus tugas yang diberikan sahaja, adalah lebih baik untuk pelajar melihat dan belajar pengurusan syarikat secara lebih menyeluruh. Jangan curi maklumat rahsia sudahlah.
11. Jangan beralasan seperti “Saya tak reti” atau “Saya tak belajar ini di universiti.” Bersedialah belajar perkara baharu. Inilah peluang eksplorasi kemahiran baharu.
12. Boleh jadi tempat latihan industri anda terlalu padu sampai anda tak menang tangan dan menangis malam-malam. Boleh jadi terlalu sendu sampai anda goyang kaki dan ambil kesempatan. Sesuaikan diri segera. Ambil inisiatif untuk jadi lebih produktif.
13. Bina hubungan baik dengan pegawai penyelia dan staf di sana. Jangan berat mulut. Jangan pula ‘membawang’ pasal penyelia anda. Pasti sampai ke telinga dia. Ingat, penyelia anda memegang markah yang agak besar.
14. Siapkan laporan latihan dan selalu update progress dengan koordinator anda. Jika anda mengalami apa-apa gangguan tidak wajar, sila laporkan juga.
15. Jaga nama baik universiti. Senior anda telah membina reputasi yang baik. Muka kena ceria. Semangat kena tinggi. Penat? Masa ini anda akan hargai penatnya belajar lebih bahagia daripada penatnya bekerja.
16. Majikan dan pensyarah mahu melihat peningkatan hard skill (kemahiran teknikal) dan soft skill (kemahiran insaniah) anda. Jangan sia-siakan tempoh ini. Kalau tiada peningkatan, buat habis duit minyak motor sahaja ulang-alik pergi kerja.
17. Dalam diam, penyelia anda memerhatikan kepimpinan anda, kerja berpasukan (teamwork) dan kebolehan anda untuk selesaikan sesuatu masalah. Ada banyak CCTV yang memerhati.
18. Selalu jadi isu apabila pelajar tak faham arahan penyelia. Jika tidak faham maka bertanyalah dan berbincanglah. Semasa menjalankan arahan, penyelia anda akan perhatikan sama ada anda seorang yang independent atau self-reliant.
19. Tunjukkan minat dengan tugasan. Macam mana? Dapatkan pengetahuan. Baca maklumat lanjutan. Cari maklumat tambahan daripada sumber lain. Tunjukkan sikap kebertanggungjawaban.
20. ‘Detox’ penggunaan telefon pintar anda. Nanti tak semena-mena kerja tak jalan sebab asyik main telefon. Gunakan ia dengan bijak ketika menjalani latihan industri. Jangan sampai ada yang laporkan kepada penyelia anda.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua.
*Perkongsian di atas dikongsikan dengan kebenaran pemilik asal iaitu Istajib Mokhtar.