2 Cawangan Xing Fu Tang ‘Dihiasi’ Cat Merah Selepas Pertikaian Antara Pengendali Jenama Berkenaan

Untuk mereka yang menggemari bubble tea, mustahil anda tidak pernah dengar tentang jenama yang berasal dari Taiwan iaitu Xing Fu Tang.

Dengan kasih sayang mendalam rakyat Malaysia terhadap bubble tea, ia menjadi semakin sukar untuk menyangkal bahawa ramai yang tertarik dengannya kerana rasanya yang manis dan pekat.

Namun, terdapat juga yang benci akan jenama ini sehingga mereka sanggup melakukan vandalisme terhadap dua cawangan francais berkenaan.

Menurut laporan Malay Mail, dua cawangan tersebut yang terletak di Lembah Klang itu dipenuhi dengan cat merah dalam lima kejadian berbeza yang berlaku dari 17 Oktober hingga 26 Oktober.

Motif serangan tersebut masih belum diketahui. Walau bagaimanapun, terdapat spekulasi bahawa ia mempunyai kaitan dengan pertikaian antara pengendali francais berkenaan di Malaysia dan ibu pejabat syarikat induk mereka yang terletak di Taiwan.

Baru-baru ini, Xing Fu Tang Malaysia memuat naik satu posting di halaman Facebook mereka yang menerangkan secara terperinci tentang bagaimana syarikat induk itu didakwa cuba untuk meyakinkan pemilik francais di Malaysia untuk membeli mesin pembuatan baharu pada harga yang jauh lebih tinggi.

Selain itu, mereka turut mendakwa bahawa syarikat induk berkenaan telah meningkatkan harga bahan mentah dan logistik. Syarikat induk jenama Xing Fu Tang dikhabarkan cuba untuk membuka cawangan-cawangan mereka sendiri di Malaysia dan membuat ugutan untuk menamatkan kontrak francais yang kini dipegang oleh pengendali Malaysia.

Buat masa ini, tidak ada dakwaan yang boleh dibuktikan kebenarannya lagi. Menerusi gambar yang dikongsikan oleh halaman Facebook Xing Fu Tang Malaysia, terdapat tompokan cat merah pada bahagian hadapan kedai itu.

Suspek turut menyasarkan papan tanda cawangan-cawangan tersebut secara tepat dan khusus dengan melambungkan cat berkenaan ke arah papan tanda itu. Kesannya, sebuah kereta yang diparkir di bahagian luar salah satu cawangan tersebut turut terkena tempias cat itu.

Pengendali cawangan-cawangan berkenaan sudah menghantar rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) mereka kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Semoga pihak berkuasa dapat menyelesaikan pertikaian yang berlaku dan dapat menghentikan kes vandalisme seperti ini daripada berlaku lagi pada masa hadapan.

Artikel Lain Untuk Di Baca