2 Benda Yang Dipercayai Mempunyai Kaitan Dengan Sumpahan

Tahukah anda terdapat beberapa objek telah menjadi inspirasi kepada penghasilan filem-filem seram terutamanya adalah anak patung?

Berikut adalah dua objek yang digeruni kerana dipercayai telah disumpah:

1. Anak patung Annabelle

Sumber: Bullet For Your Head

Annabelle adalah sebuah anak patung yang diperbuat daripada kain yang kini ditempatkan di Muzium Occult Warren di Monroe, Connecticut. Dipercayai pembikinan filem seram seperti The Conjuring dan Annabelle diinspirasikan daripada anak patung Annabelle tersebut.

Menurut pasangan pakar paranormal, Ed dan Lorraine Warren, anak patung ini telah diberikan kepada seorang pelajar kejururawatan pada sekitar tahun 1970-an dan mendakwa anak patung ini telah didiami oleh roh seorang gadis yang sudah mati bernama Annabelle Higgins.

Dipercayai anak patung itu telah dijaga oleh jururawat tersebut bersama-sama rakan sebiliknya yang kemudian menjadi takut apabila mendakwa anak patung tersebut mula berkelakuan aneh lalu menghubungi pasangan Warren.

Pasangan Warren telah membawa balik dan menempatkan Annabelle di dalam sebuah bekas kaca untuk dipamerkan di muzium mereka yang mana seorang penunggang motosikal bersama teman wanitanya telah maut sejurus apabila telah mengejek Annabelle sebagai sesuatu yang karut walaupun telah diberi amaran oleh Ed.

2. Cermin Ladang Myrtles

Sumber: Littleprettythings

Ladang Myrtles mempunyai sebuah rumah lama yang turut menjadi salah sebuah rumah bersejarah di Louisiana, Amerika Syarikat. Dibina pada tahun 1796 oleh Jeneral David Bradford, rumah di ladang ini dianggap sebagai rumah yang paling berhantu di Amerika Syarikat.

Dipercayai, rumah itu dikatakan telah dibina di atas perkuburan kaum Indian Kuno Tunica yang mana terdapat sebanyak 12 hantu yang sering berlegar-legar di kawasan tersebut. Malahan, semenjak rumah itu dibina, dikatakan hampir 10 pembunuhan telah berlaku di situ.

Kisah dikatakan bahawa terdapat satu cermin di dalam rumah tersebut yang menyimpan roh kepada Sara Woodruff dan dua orang anaknya. Sara Woodruff merupakan isteri kepada Clarke Woodruff, penjaga rumah ladang tersebut setelah kematian Jeneral David Bradford pada tahun 1808.

Menurut adat di sana, sekiranya berlaku sebarang kematian, cermin perlulah ditutup dengan kain namun tidak dilakukan ketika kematian Sara Woodruff dan dua orang anaknya, di mana dikatakan telah memerangkap roh mereka di situ selamanya. Beberapa individu turut melaporkan terlihat kelibat roh Sara dan kesan tapak tangan pada cermin berhantu itu.

Penulis 

  • Ainu Syairah binti Ibrahim adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Prof. Madya Dr. Mohd Syuhaidi Bin Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) Uitm.

Untuk membaca artikel berkaitan, klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca