2 Anak Muda ini Berkongsi Pengalaman Merantau ke Negara Orang Sambil Jadi Aktivis

Penulis: Zafirah Zapri

Travel dan backpacker sudah menjadi trend pada masa kini. Tapi apakah makna di sebalik semua itu? Bertempat di Publika, Nur Munirah Othman (NMO) dan Khairul Jamain (KJ) berkongsi pandangan dan pengalaman mereka dalam forum bertajuk ‘Activism & Travelling: Masih Ada Yang Tertinggal Di Antara Kita’.

Khairul Jamain (KJ)

Kita mulakan dengan cerita KJ dulu. Dulu dia bekerja sebagai property management executive. Tapi dia dah tak ada hati nak bekerja dalam sektor korporat dan pakai smart-smart. Jadi dia resign dan mengambil keputusan untuk mengembara.

Keputusan itu pada mulanya mendapat tentangan keluarga kerana dia satu-satunya anak lelaki yang berguna dan kerja elok sikit. Tapi akhirnya mak dia bersetuju dengan syarat dia balik Malaysia hidup-hidup dan tak minta duit orang.

Sedar-sedar je dah dua tahun KJ mengembara ke Sabah-Thailand- Vietnam-Kemboja-Jepun-Korea. Berbulan-bulan jugalah dia merantau. Dia belajar nilai-nilai agama, politik, ekonomi dan budaya sesuatu tempat di jalanan. Pengalaman dan momen-momen ini akan diabadikan dalam sebuah buku.

Ceritanya lagi, semasa di Kemboja, dia duduk di tepi pantai dan ada seorang wanita tempatan di sana meminta 5 dollar dengan KJ untuk sekolahkan anak-anaknya. Purata pendapatan rakyat di sana kira-kira 2 dollar je sehari, 1 dollar untuk anak-anak sekolah dan mereka susah sangat nak makan.

Jika di Malaysia, soalan paling susah nak jawab ialah “Nak makan kat mana?” Bagi mereka di Kemboja pula ialah “Nak makan apa?”

Dan antara pengalaman yang paling berbekas di hatinya masa merantau tiga bulan di Sabah dan hitchhiking. Dia terharu dengan layanan baik daripada Sabahan dan mahu menulis buku khas untuk orang-orang Sabah.

Semasa belajar, dia pernah terlibat dalam demonstrasi sehingga bermalam di lokap. Masa tu, dia cuba nak lari tapi ada seorang polis bentes kakinya sehingga jatuh gedebuk . “Kau ni, orang suruh masuk U untuk belajar bukannya terlibat benda-benda macam ni!” bebel polis tersebut.

“Biasalah, orang muda dan bodoh berpisah tiada.” cerita KJ lagi kepada audiens.  Darah muda tengah panas menggelegak la katakan. Selain tu, dia juga pernah menjadi aktivis alam sekitar dan buku jalanan.

Nasihatnya kepada anak-anak muda, “Umur 18 hingga 25 kau kena tau apa nak buat dalam hidup, umur 30 hingga 45 kena kekalkan la.”

“Kejayaan seseorang bagi aku bukanlah besarnya kereta atau rumahnya tapi apa yang dia sumbangkan kepada masyarakat.”

“Aku juga nak menulis buku, kalau tak menulis nanti tenggelam dalam 7 bilion lebih umat manusia ni.” katanya lagi.

 

Nur Munirah Othman (NMO)

NMO, seorang aktivis dan penulis sepenuh masa turut berkongsi pengalamannya…

Dulu dia belajar kejururawatan dan lepas habis belajar baru dia sertai aktivisme ni. Dia join Nursing Beyond Borders, pergi Kemboja dan dia rasa tersentuh melihat kehidupan di sana yang serba daif.

Balik Malaysia, dia kumpul bantuan makanan untuk dihantar ke Kemboja. Dia juga pergi ke Tanzania, salah satu republik di Afrika untuk terlibat dengan projek bekalan air bersih di sana. Apa yang menyedihkan, buruh untuk membuat water tank itu adalah wanita.

“Suami kakak mana?” tanya NMO dalam bahasa Afrika.

“Suami pergi bandar. “jawab wanita itu.

Cerita NMO lagi, wanita-wanita di Tanzania tu yang menjadi ketua keluarga dan buat semua kerja. Dari urusan rumah tangga hingga cari makan. Suami goyang kaki lepak di kedai.

“Bila buat baik ni rasa ketagih tau, rasa nak buat lagi.”

“Bila pergi ke negara orang sendirian, pastikan kita ada contact orang yang boleh dipercayai di sana.” katanya.

Menurutnya lagi, kalau nak ikhlas jadi aktivis wajib jauhi 3P ini iaitu Prestij, Publisiti dan Pengaruh. Barulah dapat satu perasaan dan kepuasan yang tak boleh nak digambarkan.

“Jangan rasa nak dihormati sebab nanti sampai bila-bila pun orang tak hormat kita.”katanya lagi sekali gus mengakhiri forum tersebut.

Artikel Lain Untuk Di Baca