194 Kanak-Kanak Mengadu Sunyi Di Talian Kasih 15999

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh mendedahkan bahawa seramai 194 kanak-kanak yang membuat panggilan di Talian Kasih 15999 mengadu mengalami kesunyian.

Menurut beliau seperti yang dilaporkan Astro Awani, angka tersebut merangkumi 56 peratus daripada 264 panggilan yang dibuat menerusi talian yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Dari tahun 2015 hingga September 2019, 264 panggilan datang daripada kanak-kanak. Sebanyak 56 peratus daripada 264 panggilan itu iaitu kanak-kanak berkenaan mengatakan mereka kesunyian dan memerlukan orang untuk berbual.”

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan ibu bapa dan penjaga supaya meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak atau sekurang-kurangnya melibatkan mereka dengan aktiviti berfaedah sepanjang cuti sekolah.

“Jadi, memandangkan sekarang adalah musim cuti sekolah ibu bapa perlu pastikan kalau anda bekerja pastikan anak-anak ada aktiviti yang sihat, awasi penggunaan gajet, pastikan penjaga anak menjaga mereka dengan betul,” kata beliau.

Pada masa yang sama, Hannah mengatakan bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kini sedang giat mempromosikan Talian Kasih 15999.

Difahamkan, Talian Kasih 15999 dibangunkan oleh pihak kerajaan untuk semua lapisan masyarakat terutama sekali dalam menjaga kebajikan mereka yang memerlukan.

“Tahun-tahun sebelum ini mungkin tidak begitu rancak. Oleh sebab itu tidak banyak (panggilan) diterima. Namun, sesetengah daripada panggilan datang kerana kesunyian,” ujar beliau lagi.

“Melalui Talian Kasih, kita ada kaunselor. Operator akan dapat semua maklumat pemanggil dan mereka akan salurkan kepada pihak tertentu. Contohnya kalau ada kes penderaan mereka akan salurkan kepada polis. Ia bukan sahaja untuk kanak-kanak, tetapi juga untuk warga emas dan semuanya,” kata Hannah.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca