18 Penuntut UPNM Diarah Bela Diri, Bapa Zulfarhan Sujud Di Luar Mahkamah

Dalam kes kematian yang membabitkan penuntut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) iaitu Zulfarhan Osman Zulkarnain, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan 18 daripada 19 tertuduh untuk membela diri.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir sesi pendakwaan.

Seorang lagi tertuduh iaitu Mohamad Akmal Akif Alias dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri bagi pertuduhan bersubahat dan mencederakan Zulfarhan Osman.

Enam daripada tertuduh bakal dibicarakan di bawah Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Menurut laporan Astro Awani, baki 12 penuntut yang lain pula akan dibicarakan di bawah Seksyen 330 kanun yang sama di mana ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bapa kepada Zulfarhan Osman ketika ditemui di luar mahkamah mengucapkan jutaan terima kasih buat rakyat Malaysia yang tidak henti-henti mendoakan agar kematian arwah mendapat pembelaan yang sepatutnya.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kematian arwah terbela,” ucapnya yang melakukan sujud syukur di luar kamar sebaik sahaja hakim membuat keputusan.

Pada masa yang sama, Mohamad Akmal dilihat disambut oleh ahli keluarganya di luar mahkamah yang tidak dapat menahan sebak apabila dia dibebaskan.

Perbicaraan akan bermula pada 2 Oktober ini. Kesemua tertuduh didakwa terbabit dalam membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di kamar 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca