Lionel Messi dan Luis Suarez meletakkan Barcelona sebelah kaki untuk melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara selepas kedua-dua mereka menemui penyudah ketika menentang Liverpool, awal pagi tadi.
Tirai jaringan dibuka oleh bekas penyerang Reds, Luis Suarez menerusi kuisan cantik pada minit ke-26 hasil hantaran lintang Jordi Alba.
Tersentak dengan jaringan itu, Liverpool cuba mengasak untuk mencari gol penyamaan, namun usaha mereka tidak berhasil apabila gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke pintu gol Barca.
Bersambung babak kedua, Liverpool memulakan aksi dengan lebih aggresif dan melancarkan serangan bertali arus ke kubu Barca, namun gagal memecah kebuntuan. Barisan pemain Barca tenang menyerap setiap asakan Liverpool dan hasilnya, Messi berjaya menambah gol menerusi satu gerakan cantik yang dimulai oleh bintang Argentina itu sendiri.
Belum sempat anak buah Jurgen Klopp memperkemas rentak, Messi sekali lagi menggegarkan Nou Camp dengan jaringan ketiga menerusi sepakan percuma yang menakjubkan pada minit ke-82.
Gol tersebut merupakan gol ke-600 Messi bersama Barca selepas kali pertama menyarung jersi kelab Catalan itu pada Mei 2005. Angka itu dicapai dengan penuh bergaya dengan gol yang sensasi.
Bos Liverpool hanya mampu tersenyum melihat gol tersebut walaupun pada hakikatnya, keputusan itu agak kejam buat pasukannya.
Berbekalkan 3 gol ini, Liverpool kini berdepan laluan getir untuk mara ke peringkat akhir dan mereka perlu membuat kebangkitan yang luar biasa dalam perlawanan kedua di Anfield, Selasa depan.
Dengan 2 jaringan tersebut, Messi telah menjaringkan 47 gol dalam semua pertandingan musim ini, disusuli Suarez dengan 27 gol. Kedua-dua mereka kini mencetak 74 gol sesama mereka untuk Barcelona pada musim 2018/19 ini.
Walau bagaimanapun, kapten Barca itu memberi amaran kepada rakan sepasukannya supaya tidak duduk dengan selesa kerana tempat mereka di final Liga Juara-Juara masih belum muktamad sekalipun mempunyai 3 gol sebagai bekalan.
“Lebih bagus jika menang 4-0 berbanding 3-0 tapi ia satu keputusan yang amat bagus,” kata penyerang Argentina itu.
“Ia belum muktamad, kami akan ke sana berdepan satu suasana yang agak rumit, dengan sejarah hebat.”
Meskipun mempamer aksi yang sangat luar biasa, Messi enggan menerima pujian kerana menurutnya, kemenangan itu bukan berpunca daripada dirinya sahaja.
“Kami perlu lebih bersatu berbanding biasa, semua bersatu hati, pasukan, penyokong,” ujar Messi.
“Kami katakan pada awal musim kami akan cuba memenanginya bersama.”