Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini susulan peningkatan kes Omicron dalam kalangan jemaah.
Keputusan bagi menangguhkan ibadah umrah dibuat selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Penilaian ini berdasarkan risiko situasi varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi.
Bagi jemaah yang akan berlepas pada 1 hingga 7 Januari, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan namun perlu menjalani kuarantin selepas tiba di Malaysia.
Menurut Khairy Jamaluddin, kuarantin sememangnya wajib dijalankan oleh jemaah umrah yang pulang ke Malaysia bermula 3 Januari ini.
Penempatan di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah disediakan.
Menerusi rekod dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 1,306 kes jemaah umrah dikesan positif COVID-19.
Daripada 64 kes jangkitan Covid-19 varian Omicron ini, sebanyak 32 dikesan dalam kalangan jemaah umrah. Selain itu, sehingga 30 Disember lalu terdapat sembilan kluster yang melibatkan jemaah umrah.
“Ia melibatkan lima kluster dengan kes-kes indeks disahkan varian Omicron, satu kluster kes indeks berkemungkinan Omicron dan sedang menunggu keputusan ujian jujukan penuh (WGS) serta tiga kluster melibatkan kes-kes indeks bukan varian Omicron,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen semalam.
Tambahnya, penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: