Nama dia Zahra Khanom Tadj es-Saltaneh (1883-1936). Zahra merupakan puteri kesayangan Raja Parsi, Naser al-Din Shah.
Dia dikatakan antara puteri tercantik dalam sejarah dunia sehingga ada khabar angin 13 jejaka sanggup bunuh diri kerana gagal memiliki cinta sang puteri ini.
Seorang pemuisi Parsi, Aref Qazvini dipercayai turut ada hati padanya sehingga mengabadikannya dalam sebuah puisi bertajuk ‘Ey Taj’.
Jika anda tertanya-tanya celah mana cantiknya?
Cantik itu terletak pada pandangan mata seseorang dan bersifat subjektif. Tidak semestinya wajib putih dan kurus melidi seperti bihun, iaitu kecantikan ideal bagi orang Asia dalam paparan media zaman sekarang.
Perempuan bermisai dan kening tebal menjadi standard kecantikan pada zaman itu. Kaum wanita yang tinggal di harem (tempat tinggal gundik atau istana keluarga diraja) kebanyakannya bertubuh gebu dan berkumis sebagai simbol kejelitaan.
Dari Universiti Tehran sehingga ke Harvard, kehidupan Puteri Zahra ini menjadi subjek kajian akademik.
Sejarawan berpendapat yang sampai 13 orang lelaki bunuh diri demi puteri ini bukan fakta tetapi auta kerana Zahra didakwa berkahwin aturan keluarga pada usia 9 tahun. Tidak sempat mana-mana lelaki mahu memikatnya.
Namun begitu, kecantikan puteri ini sebagai simbol budaya pada abad ke-19 di Iran itu tidak dapat dinafikan.