“Abang macam mana nak buat ni? Jam dah pukul 11.30 malam. Sudah tentu Pak Imam sudah tidur. Lihat Mak baru meninggal nak buat macam mana?”
Perasaan risau, pening dan takut semua ada di dalam hati.
“Cuba la awak mesej. Mana tahu Pak Imam belum tidur?”
“Aduh tak akan saya nak mesej abang? Kacau orang tengah malam pula!”
Kesudahannya bergaduh depan jenazah maknya. Andai arwah masih hidup mesti dia sedih dan terdetik dalam hati dia (arwah).
“Sepatutnya anak-anak aku tahu nak buat apa. Tapi silap sendiri juga tak bimbing dan didikan cara nak urus jenazah aku nanti.”
Semakin lama jenazah terbiar, semakin terseksa jenazah itu. Urusan pengebumian mesti cepat diuruskan.
Astaghfirullah, sudah tentu sedih apabila berada dalam keadaan seperti ini bukan?
Berikut merupakan cara-cara untuk menguruskan jenazah ialah:
1. Tutup matanya. Kalau tak boleh tutup, urutkan dengan minyak di sekitar mata dan perlahan-lahan tutup matanya.
2. Ikatkan rahang dengan menggunakan tali, tangan, betis dan ibu jari kaki.
3. Jenazah mesti diletak di tempat tinggi seperti katil atau pangkin. Hal ini kerana untuk memudahkan kita menguruskan jenazah dengan baik dan jangan letak atas lantai.
4. Buang semua pakaian yang dipakai. Kalau tidak boleh buka pakaian tersebut gunakan gunting.
5. Bersihkan anggota tubuh jenazah, khususnya yang mungkin terpalit najis seperti air kencing atau berak. Ini bagi mengelakkan ada bauan yang kurang menyenangkan ketika orang datang menziarah. Lalu, lap dengan menggunakan wet tissue (anti bacteria).
6. Tutup jenazah dengan kain tebal (comforter) dari hujung rambut hingga ke hujung kakinya bagi mengelak aib sebelum meletakkan kain lepas seperti kain batik di atasnya.
7. Baringkan jenazah dengan kakinya mengadap ke arah kiblat. Jika semasa kita hidup, muka kita mengadap kiblat. Tetapi, bila meninggal sebaliknya.
8. Telefon segera waris dan ahli keluarga yang terdekat, untuk memaklumkan yang kita baru sahaja kehilangan orang yang kita kasihi.
9. Telefon pihak hospital dan mereka akan hantar pegawai kesihatan untuk sahkan kematiannya. Waris akan diberi dokumen pengesahan kematian sebanyak 3 salinan.
10. Kemudian, pergi membuat laporan polis memaklumkan berlaku kematian di rumah kita. Jika kes tidak melibatkan sebarang unsur jenazah, pihak polis yang datang akan memberikan kita permit pengkebumian. Tetapi kalau ada unsur-unsur jenayah, siasatan lebih teliti akan dibuat dan akan membabitkan pihak hospital untuk post mortem.
11. Apabila sudah ada permit pengkebumian, rujuklah kepada pihak masjid atau surau. Maklumkan kepada mereka. Hal ini kerana bagi memudahkan pihak AJK masjid membuat urusan seperti menyuruh pihak penggali kubur menggali lubang, menyediakan tempat mandi dan lain-lain untuk diuruskan jenazah keesokan harinya.
12. Jika waris sudah lama sakit dan sudah terbaring terlalu lama, ambil sedikit gaharu, setanggi ataupun kemenyan dan nyalakan dengan menggunakan api. Hal ini bertujuan bagi mengelakkan bau yang mungkin kurang menyenangkan. Pembakaran ini sedikit sebanyak dapat menutup bau yang ada pada jenazah.
13. Akhir sekali, memandangkan kematian berlaku di waktu tengah malam, jangan sesekali membiarkan jenazah sendirian. Memang mereka telah meninggal dunia tetapi roh masih ada di situ lagi.
Berikan tanggungjawab kepada adik beradik untuk jaga secara bergilir-gilir. Bacakan Surah Yassin dan ayat suci Al-Quran yang lain di sisi arwah, kerana pahala ini akan terus sampai kepada mereka.
Sementara yang lain, mungkin boleh tidur sekejap sementara menunggu hari siang untuk urusan mandikan jenazah sebelum dikebumikan.