12 Tempat Menarik Di Batu Pahat Yang Anda Wajib Lawati

Apakah yang terlintas di fikiran anda saat anda melihat perkataan Batu Pahat? Kalau untuk kami pula, Batu Pahat sinonim dengan pengeluar nanas dan mi racun yang sangat sedap dan istimewa. Kami akan kongsikan 12 tempat menarik di Batu Pahat menerusi artikel ini:

1. Galeri Dato’ Onn

Bangunan yang telah dibina pada tahun 1938 ini terletak di dalam sebuah kawasan padang golf. Sebelum dijadikan galeri, bangunan yang berkeluasan 4,488 kaki persegi ini merupakan rumah kerajaan yang didiami oleh Dato’ Onn dari tahun 1945 hingga 1947 sewaktu beliau masih memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat.

Pemimpin yang berjiwa rakyat ini pernah memegang banyak lagi jawatan lain di dalam kerajaan termasuk Menteri Besar Johor yang ketujuh. Anda boleh melawat Galeri Dato’ Onn sekiranya anda ingin mengikuti kisah hidup pemimpin yang banyak menyumbang kepada kemerdekaan negara ini.

Selain itu, terdapat banyak foto berkaitan Almarhum di dalam galeri terbabit yang menceritakan peristiwa-peristiwa penting yang pernah berlaku di dalam hidupnya. Di samping itu, galeri tersebut turut mempamerkan banyak barangan lain yang wujud pada zaman Dato’ Onn seperti basikal tua, senjata, tembikar, barangan perhiasan dan lain-lain lagi.

2. Wet World Batu Pahat

Siapa yang tidak suka bermandi-manda di taman tema? Walaupun tidak sebesar Sunway Lagoon, Wet World Batu Pahat pasti membuatkan anda sekeluarga sangat berpuas hati kerana boleh bermain gelongsor air, kolam renang berombak, Kiddy Pool dan banyak lagi!

3. Dataran Penggaram

Sumber: Travel Malaysia

Turut dikenali sebagai Dataran Batu Pahat, dataran ini sangat meriah terutamanya pada musim cuti sekolah dan setiap hujung minggu dengan pelbagai acara seperti pameran, ceramah, persembahan kebudayaan dan banyak lagi.

Selain itu, terdapat banyak gerai yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman yang menarik untuk dibeli.

Seterusnya, dataran ini merupakan sebuah tempat yang sesuai untuk anda meluangkan masa bersama keluarga.

4. Tugu Batu Pahat

Sumber: kotastar

Tugu yang merupakan lambang Batu Pahat ini berdiri dengan megahnya di Dataran Penggaram. Tugu ini memiliki rekaan yang cukup unik untuk menggambarkan nama ‘Batu Pahat’ itu sendiri dengan tangan yang tergantung dan memegang pahat.

Untuk pengetahuan anda, nama Batu Pahat ini dipilih berdasarkan peristiwa bersejarah yang dikatakan berlaku pada sekitar tahun 1456 di mana tentera Siam telah datang menyerang kampung Minyak Beku yang merupakan lokasi batu yang dipahat untuk mendapatkan bekalan air bersih.

5. Taman Botani Batu Pahat

Sumber: erithunlimited

Taman Botani Batu Pahat merupakan salah satu daripada lokasi penggambaran untuk filem Puteri Gunung Ledang. Kawasan ini pada asalnya merupakan bekas lombong bijih timah pada zaman dahulu.

Sekiranya anda melawat Batu Pahat, anda jangan lupa untuk turut singgah di sini!

6. Pantai Minyak Beku

Sumber: Menara Kehidupan

Sekiranya anda sukakan keindahan alam semula jadi, anda boleh mengunjungi Pantai Minyak Beku pada waktu matahari terbit dan terbenam. Dalam pada itu, pantai ini terletak hanya tujuh kilometer dari Bandar Batu Pahat. Jangan lepaskan peluang untuk memancing di kawasan pantai ini sambil anda menikmati pemandangan!

7. Batu Pahat Walk

BP Walk ataupun Batu Pahat Walk merupakan kawasan yang terletak di sepanjang Jalan Rahmat. Untuk anda yang sering berjaga malam dan kerap tercari-cari tempat makan pada waktu malam, inilah tempat untuk anda.

Terdapat banyak gerai makan yang terdapat di sepanjang jalan ini dan menu yang boleh ditemui di sini termasuk sup yang beraneka rasa, mi bandung, sate, mi rebus dan banyak lagi.

8. Old Street Batu Pahat

Sumber: Skyscraper City

Sekiranya anda merupakan seorang yang sukakan fotografi, anda wajib singgah di sini sekiranya anda berada di Batu Pahat. Terletak di Old Street Batu Pahat, terdapat sebuah taman dihias cantik yang diberi nama Sky Garden Old Street di atas bumbung bangunan berkenaan. Selain taman yang indah, terdapat banyak restoran yang dihias dengan penuh kreatif di bahagian atas bumbung tersebut.

9. Taman Rekreasi Tasik Y

Sumber: dinohauz

Tasik ini dinamakan Tasik Y kerana bentuknya seperti huruf Y. Sebelum ini, tasik berkenaan merupakan tapak perlombongan tetapi kini ia merupakan sebuah taman rekreasi yang menerima ramai pengunjung untuk beriadah di waktu petang dan di hujung minggu.

Tambahan pula, taman rekreasi ini lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti laluan refleksologi, taman permainan, peralatan senaman dan pondok rehat.

Apabila anda sudah selesai bersenam, anda boleh mencuba pelbagai makanan menarik yang dijual di gerai-gerai yang dibuka di sini.

10. Pantai Punggur

Sumber: Ammboi

Terletak lebih kurang 30 kilometer dari Batu Pahat, pantai ini kelihatan sangat cantik terutamanya pada waktu matahari terbenam. Terdapat sebuah jeti yang merupakan spot yang sempurna untuk anda bergambar bersama yang tersayang berlatarbelakangkan keindahan lautan yang terbentang luas.

11. Hutan Lipur Bukit Soga Perdana

Sumber: madsha89

Terletak tiga kilometer dari bandar Batu Pahat, hutan ini ialah sebuah hutan simpan yang memiliki taman rekreasi yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti trek jogging, tandas dan pondok rehat.

Seterusnya, terdapat sebuah menara pemerhatian dalam hutan ini yang berada 785 meter dari titik awal perjalanan dan pemandangan dari menara ini sungguh indah.

12. Ladang nanas

Sumber: abgjemkittyfanatics

Ladang nanas yang terletak di Kampung Parit Tengah ini merupakan ladang yang terbesar di Asia Tenggara dan juga yang ketujuh terbesar di dunia. Antara jenis nanas yang diusahakan di sini adalah daripada jenis Josaphine dan juga Morris kerana buahnya yang besar dan isinya yang sangat manis.

Sekiranya anda mahu bercuti di Batu Pahat, bawalah kawan-kawan dan keluarga datang bersama-sama kerana dengan itu kamu akan mendapat pengalaman yang seronok ketika bercuti di sini.

PENULIS

• Muhammad Hasif Mohd Yunus adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

• Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca