11 Perlawanan Tumpuan Menemukan Kelab-Kelab Gergasi Eropah Sepanjang Februari

Apabila tiba masanya di mana dua kelab besar bersaing menentang antara satu sama lain, pastinya tumpuan seluruh peminat bola sepak akan terarah kepada perlawanan tersebut. Penggila bola sepak pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menonton perlawanan utama ini baik di rumah, di kedai mamak bersama rakan penyokong lain atau jika ada rezeki lebih, melancong sambil menonton terus di stadium.

Jendela perpindahan pertengahan musim kelab-kelab Eropah telah pun melabuhkan tirai pada akhir Januari lepas dengan beberapa nama pemain telah bertukar pasukan. Seperti biasa, bulan Februari menjanjikan bola sepak yang lebih menarik apabila saingan liga semakin sengit, selain pertandingan seperti Liga Juara-Juara telah pun memasuki fasa kalah mati.

Untuk Februari ini, pelbagai elemen tarikan sedia menanti untuk kepuasan para penggila bola sepak; perseteruan antara dua kelab yang bersaing hebat di dalam liga, perlawanan derby setempat, dua perlawanan El Clásico timbal balik dalam Copa Del Rey dan lain-lain.

Berikut disenaraikan 11 perlawanan bola sepak yang dinanti-nantikan dan bakal disaksikan para peminat bola sepak pada bulan Februari. Pastikan anda tidak akan terlepas.

1. 6 Februari, Barcelona lawan Real Madrid (separuh akhir pertama Copa Del Rey)

Perlawanan ini telah pun berlangsung awal pagi tadi dan berakhir dengan keputusan 1-1. Real Madrid berjaya mendahului perlawanan dengan gol daripada Lucas Vazquez hasil lorongan menarik Karim Benzema. Namun gol penyamaan Barcelona oleh Malcom mengendurkan sedikit kekuatan jaringan tempat lawan yang dimiliki oleh Real Madrid.

Foto: Managing Madrid

2. 9 Februari, Atletico Madrid lawan Real Madrid (La Liga)

Selang tiga hari selepas El Clasico pertama 2019, Real Madrid pulang ke ibu kota Sepanyol namun perlu bertandang ke kandang seteru setempat, Atletico Madrid untuk berentap dalam saingan La Liga. Dipisahkan hanya dengan dua mata selepas 22 perlawanan, anak didik Santiago Hernan Solari pastinya bakal bersemangat untuk meneruskan momentum aksi menarik mereka sepanjang enam perlawanan yang lalu di mana mereka merekodkan lima menang dan satu seri dengan menyumbat 17 gol.

Atletico Madrid di bawah kendalian Diego Simeone pula pastinya akan memberikan saingan yang lebih daripada biasa seperti mana setiap kali mereka bertemu Real Madrid dalam apa-apa saingan sekali pun. Bekas pemain Real Madrid, Alvaro Morata yang dipinjam daripada Chelsea dijangka akan diturunkan dalam perlawanan ini.

3. 12 Februari, Manchester United lawan PSG (Liga Juara-Juara)

Ini adalah perlawanan pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara untuk musim 2018/19 dan juga bakal menjadi perlawanan pertama buat Solksjaer mengendalikan Manchester United dalam persaingan Liga Juara-Juara.

Selain Neymar yang bakal terlepas perlawanan ini kerana kecederaaan yang dialaminya, kekalahan PSG kepada Lyon dalam saingan Ligue 1 Perancis turut meresahkan para penyokong mereka menjelang perlawanan besar ini. Manakala di Old Trafford, Manchester United nampak meyakinkan dengan rentetan 9 kemenangan daripada 10 perlawanan terakhir yang mereka lalui.

4. 13 Februari, Borussia Dortmund lawan Tottenham Hotspurs (Liga Juara-Juara)

Borussia Dortmund pada musim ini kembali beraksi garang di bawah kendalian Lucien Favre. Kejayaan mereka mendahului di puncak takhta liga pada ketika ini menceritakan segalanya.

Pertemuan dua kelab ini nyata sukar diramal memandangkan rekod pertemuan mereka sebanyak 4 kali sebelum ini menghasilkan dua kali kemenangan buat setiap pasukan.

Foto: 90min

5. 18 Februari, Manchester United lawan Chelsea (Piala FA)

Dua pasukan ini sekali lagi dipertemukan dalam saingan Piala FA. Dalam perlawanan pada pusingan sebelumnya, Manchester United menumpaskan Arsenal 3-1 di Emirates manakala Chelsea menang selesa 3-0 ke atas Sheffield Wednesday.

Perlawanan saingan Piala FA pada malam Isnin ini sukar diramal dengan setiap pasukan bakal menempuh jadual perlawanan yang padat dan sukar sepanjang Februari.

Perancangan pengurus pasukan masing-masing dalam memilih para pemain untuk beraksi dengan kesesuaian taktikal antara elemen penting dalam menentukan siapa yang bakal muncul sebagai pemenang dalam perlawanan ini.

Foto: 90min

Berikut 6 lagi perlawanan lain yang bakal berlangsung sepanjang Februari 2019:

6. 19 Februari, Liverpool lawan Bayern Munich (Liga Juara-Juara)

7. 20 Februari, Atletico Madrid lawan Juventus (Liga Juara-Juara)

8. 24 Februari, Manchester United lawan Liverpool (Liga Perdana Inggeris)

9. 24 Februari, Chelsea lawan Manchester City (Final Piala Liga)

10. 27 Februari, Chelsea lawan Tottenham Hotspurs (Liga Perdana Inggeris)

11. Real Madrid lawan Barcelona (separuh akhir kedua Copa Del Rey)

Artikel Lain Untuk Di Baca