Peninggalan sejarah dan tarikan moden yang terdapat di negeri Melaka menjadikan ia sebagai salah satu destinasi pelancongan utama terutamanya buat warga ibu kota yang ingin ‘lari’ sebentar daripada kesibukan dunia bandar.

Berikut kami kongsikan 10 tempat yang wajib anda kunjungi jika pergi ke bandar bersejarah itu:

1. Novotel Melaka

Jika anda pergi ke Melaka untuk beberapa hari, anda boleh jadikan Novotel Melaka sebagai tempat penginapan kerana lokasinya yang begitu strategik. Lokasi-lokasi tumpuan seperti Dataran Pahlawan, A’Famosa, The Stadthuys dan Jonker Walk hanya dalam jarak berjalan kaki sahaja dari hotel tersebut.

Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan di Novotel Melaka termasuklah gimnasium, sauna, kolam renang, ruangan kanak-kanak dan sudut untuk melayari internet. Pemandangan dari hotel bertaraf empat bintang ini juga sangat cantik.

Pada masa yang sama, hotel ini juga ada menghidangkan sarapan buat para penginap di mana ia merangkumi masakan Asia dan Barat.

Novotel Melaka juga sangat sesuai dijadikan penginapan untuk mereka yang sedang berbulan madu. Datang berdua, balik bertiga!

Alamat: Jalan Melaka Raya 2, Taman Melaka Raya, 75000 Melaka

2. Big Bowl Ice

Jika anda merupakan ‘hantu’ pencuci mulut, anda wajib berkunjung ke Big Bowl Ice yang bertempat di Taman Kota Laksamana. Menu yang paling menjadi igauan ramai di Big Bowl Ice ialah siri Snow Ice mereka. Menariknya, terdapat pelbagai perisa yang boleh dipilih mengikut cita rasa anda. Ia juga datang dengan beberapa pilihan saiz hidangan.

Salah satu perisa best-seller ialah Milk Snow Ice with Mangoes + Ice Cream. Rasa manis mangga ditambah dengan lemak susu dan ais yang cair di mulut mampu membuatkan anda termimpi-mimpi.

Sekiranya anda merupakan peminat tegar bubble tea, Big Bowl Ice juga ada menawarkannya dalam menu mereka. Paling mendapat sambutan ramai adalah Boba Gula Melaka. Selalunya, boba di kedai-kedai bubble tea lain akan dimasak bersama dengan gula perang tetapi kali ini, Big Bowl Ice menggunakan gula melaka asli dari negeri itu untuk Boba Gula Melaka yang sekali gus menjadikan minuman itu lebih sedap.

Alamat: 11, Jalan Kota Laksamana 1/2, Taman Kota Laksamana, 75200 Melaka

3. Roti John Tarik Maelambong

Satu lagi tempat yang wajib anda pergi jika berkunjung ke Melaka ialah Roti John Tarik Maelambong yang terletak berhadapan dengan Hang Tuah Mall. Terdapat empat jenis pilihan roti john iaitu daging kisar, ayam, tuna dan kambing. Menariknya, Roti John Maelambong menggunakan 100 peratus daging asli dan bukannya daging kisar atau daging burger seperti di kebanyakan kedai-kedai lain.

Roti John Tarik Maelambong juga ada menawarkan set dulang yang berharga RM60 di mana ia datang bersama dengan lamb grill, chicken chop, meatball, nugget dan sosej. Meatball dan sos yang digunakan adalah resepi turun-temurun Maelambong. Set kombo untuk empat orang makan ini juga disertakan dengan satu jug teh lemon ais.

Selain itu, terdapat beberapa gerai makanan lain berdekatan kedai Roti John Tarik Maelambong seperti mi bandung, oden, sate, char kuey teow dan aneka ais batu campur.

4. Encore Melaka

Selain berkunjung ke muzium, anda juga boleh mempelajari sejarah Melaka dengan menyaksikan persembahan teater yang disebut sebagai Encore Melaka. Persembahan berdurasi 70 minit yang dipersembahkan oleh 200 orang penghibur itu akan membawa anda ke enam abad berbeza.

Selain itu, jika anda mahu gambar yang Instagram-worthy, anda wajib singgah ke sini. Bergambar berlatarbelakangkan bangunan ini pasti membuatkan anda seolah-olah sedang bercuti di luar negara.

Alamat: No. 3 Jalan KSB – Impression 8 Impression City, Kota Syahbandar, 75200, Melaka

5. Muzium Penjara Malaysia

Ramai tidak tahu tentang kewujudan Muzium Penjara Malaysia yang terletak di Kampung Bandar Hilir Melaka. Percaya atau tidak, ia sememangnya digunakan sebagai penjara bagi menempatkan para pesalah suatu ketika dahulu. Antara bahagian yang terdapat di muzium penjara itu adalah bilik hukuman gantung, sel banduan akhir iaitu banduan yang bakal ke tali gantung, sejarah penjara, pakaian banduan, tempat mandi dan juga klinik.

Menariknya, caj yang dikenakan untuk masuk ke muzium ini cuma RM3 sahaja. Jadi, jangan lupa untuk berkunjung ke Muzium Penjara Malaysia untuk ketahui erti sebenar kebebasan.

Alamat: Jalan Parameswara, Kampung Bandar Hilir, 75000 Melaka

6. The Orang Utan House

Mula dibuka pada tahun 1992, The Orang Utan House merupakan sebuah studio peribadi milik pelukis tempatan yang dikenali sebagai Charles Cham. Karya lukisannya telah berjaya dipamerkan di pentas antarabangsa termasuklah di Portugal, Switzerland, Singapura, Australia dan Hong Kong.

Alamat: 59, Jalan Hang Jebat, 75200 Melaka

7. The Stadthuys

Terletak berhadapan dengan Jonker Street, bangunan yang cukup sinonim dengan negeri Melaka ini merupakan tempat pentadbiran kerajaan Belanda pada zaman penjajahan Belanda. Ia siap dibina pada sekitar tahun 1660-an dan dikatakan bangunan milik kerajaan Belanda yang tertua di Asia Tenggara.

Pada tahun 1982, bangunan ini diubah suai menjadi muzuim yang mempamerkan sejarah Melaka dan juga sejarah penjajahan Portugis serta British.

Alamat: Bandar Hilir, 75000 Melaka

8. Kampung Umbai

Sekiranya anda datang ke Melaka dengan hajat untuk ‘lari’ daripada kesibukan bandar, Kampung Umbai adalah lokasi yang wajib anda kunjungi. Suasananya yang cukup tenang selain pemandangan desa yang sangat cantik mampu mengangkat segala beban di bahu.

Pelbagai menu berasaskan makanan laut seperti udang, ketam, sotong, ikan bakar dan siput juga banyak dijual di sini dengan harga yang jauh lebih murah berbanding tempat-tempat lain.

Alamat: Sungai Umbai, Melaka

9. Makam Hang Jebat

Nama Hang Jebat yang merupakan saudara kepada Hang Tuah cukup masyhur di Melaka. Menurut kisah yang disampaikan dari mulut ke mulut, Hang Jebat mati di tangan Hang Tuah sendiri akibat ditusuk dengan keris dalam satu pertarungan yang berlangsung selama tiga hari dan tiga malam. Jenazah Hang Jebat kemudiannya dikebumikan di bandar lama Melaka iaitu berdekatan dengan kawasan Jonker Street.

Alamat: Jalan Kampung Kuli, 75200 Melaka

10. Perigi Hang Tuah

Sekiranya anda mempunyai minat yang mendalam dengan sejarah Hang Tuah, perigi yang digali sendiri oleh tuan empunya badan ini wajib dimasukkan ke dalam senarai tempat yang bakal dikunjungi. Perigi Hang Tuah bertempat di Kampung Duyong di mana ia merupakan tempat kelahiran Hang Tuah.

Menurut kepercayaan segelintir penduduk, saiz perigi ini dikatakan membesar dari masa ke masa. Ada juga yang mengatakan bahawa hanya orang tertentu sahaja mampu melihat perigi itu bertukar menjadi buaya putih. Air di dalam Perigi Hang Tuah juga dikatakan tidak pernah kering meskipun tiba musim kemarau.

Alamat: Kampung Duyong, 75430 Melaka

Baru-baru ini, Team Lejen Press Digital sempat berkunjung ke beberapa lokasi yang disenaraikan di atas. Tonton video di bawah untuk ‘terbang’ ke Melaka bersama dengan kami.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
Sumber:

Lejen TV